Kuala Lumpur – Raja Bomoh, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin berkata beliau berhasrat untuk berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bagi membincangkan beberapa perkara termasuk isu berkaitan misteri kehilangan pesawat MH370.
Beliau yang menghubungi wartawan Suara TV petang tadi menjelaskan pihaknya mendapat alamat bahawa pesawat tersebut masih selamat dan berada di salah sebuah pulau yang berada di bawah kawalan Amerika Syarikat.
“Datuk telah melakukan beberapa upacara perubatan tradisional sebelum ini dan menurut pandangan Datuk kapal terbang itu masih selamat dan berada di salah sebuah pulau.
Ibrahim walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu, kerana mahu berbincang dengan Obama terlebih dahulu.
Menurut pengamal perubatan traditional itu, selain isu kehilangan pesawat pihaknya turut ingin membincangkan beberapa perkara lain antaranya perubatan traditional Melayu dan seni silat Nusantara agar dapat diiktiraf sebagai salah satu daripada warisan dunia.
Mengulas lanjut Ibrahim berkata, pihaknya telah membuat permohonan rasmi agar diberikan sedikit ruang kepadanya berjumpa dengan Presiden Amerika Syarikat itu.
“Selamat datang, Datuk ucapkan kepada Presiden Obama.
“Datuk telah meminta para pegawai Datuk untuk mengaturkan pertemuan ini dan mengharapkan ia dapat merungkai misteri kehilangan kapal terbang ini” ujarnya lagi.
Obama merupakan Presiden AS kedua melawat Malaysia dalam tempoh 50 tahun selepas kali terakhir oleh Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.
Lawatan bersejarah itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan Obama ke Asia meliputi negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Filipina.
Kunjungan tersebut membawa makna besar bagi Malaysia kerana ia menggambarkan keyakinan AS terhadap negara ini selain pengiktirafan terhadap kepimpinan Najib.
Pada masa yang sama, kesediaan Obama memilih Malaysia juga menunjukkan Washington yakin dengan situasi politik di negara ini yang aman dan harmoni.
Sempena lawatan ini, Najib dan Obama dijangka membincangkan kerjasama ekonomi, pelaburan, aspek keselamatan, pertahanan serta sains dan teknologi.
Beliau juga dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan melawat Masjid Negara.
Adopted from: http://www.suara.tv/?p=7321
No comments:
Post a Comment