Belajar sifat 'cool' Najib, kata Mykmu kepada Mukhriz
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berdepan dengan pemberontakan pemimpin Umno negeri perlu belajar dari sifat “cool” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang saban hari dikritik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kata sebuah portal pro-Umno.
“Belajarlah dari sifat ‘cool’ Najib Razak, yang saban hari dikritik oleh bapa Mukhriz dan penyokongnya, serta pembangkang.
“Mungkin sifat ‘cool’ inilah yang menjadi punca Mukhriz masih lagi menikmati empuknya kerusi menteri besar, sungguhpun desakan penolakan terhadap pentadbiran Mukhriz sudah lama berkumandang dari Umno Kedah,” kata Mykmu.net dalam kemaskini hari ini.
Sambil mengingatkan bahawa Mukhriz masih menteri besar, portal itu menasihatinya supaya tidak emosi dan melantun-lantun kerana desakan dari Umno Kedah.
Dalam politik, katanya, sesiapa sahaja berhak untuk membuat kenyataan terbuka dan menggesa mana-mana individu untuk berundur, dengan syarat ini dilakukan tanpa melampau batas.
“Pesiden Umno juga tidak terlepas dengan kritikan dan desakan sedemikian rupa.
“Malah, ia dibuat jauh lebih hebat, berulang kali sebagai modus operandi untuk menjatuhkannya atas isu-isu “separuh masak”, dan tidak kurang pula yang hanya bersandarkan fitnah.
“Terlupakah kita?” katanya.
Mykmu.net berkata demikian ketika mengulas sidang akhbar khas yang diadakan semalam oleh timbalan ketua Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipha yang mendakwa pimpinan parti negeri itu sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Bashah juga menggesa Najib supaya campur tangan dan menggantikan menteri besar.
Portal itu berkata ketua bahagian Umno tersebut mempunyai hak untuk menyatakan pendirian mereka dengan mendesak presiden selaku orang yang berkuasa mencadangkan calon menteri besar kepada pihak Istana.
Source from MalaysiaKini
No comments:
Post a Comment