Menteri beri amaran pemberhentian pekerja hingga 2017


Pemberhentian pekerja di Malaysia mungkin berterusan sehingga 2017, kata seorang menteri Kabinet hari ini, sambil menambah, rakyat Malaysia yang bimbang kehilangan pekerjaan mereka kerana iklim ekonomi yang suram perlu mencari kerja dalam bidang lain.

Menjangkakan pemberhentian kerja yang teruk dalam industri minyak dan gas beberapa bulan akan datang, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata rakyat Malaysia dalam sektor itu perlu mencari pekerjaan baharu.

Ini kerana katanya, tidak banyak mampu dilakukan kerajaan bagi membantu mereka dalam keadaan ekonomi global yang terjejas akibat kejatuhan harga minyak.



"(Pemberhentian pekerja) akan melimpah (daripada industri minyak dan gas) kepada industri lain seperti perbankan," katanya kepada pemberita di Kuching hari ini selepas majlis penyerahan surat kuasa kepada presiden Mahkamah Perusahaan Malaysia.

"Kerajaan tidak boleh memaksa majikan mengambil pekerja jika mereka tidak mempunyai wang untuk membayar gaji.

"Suka atau tidak, mereka perlu diberhentikan. Cuba cari pekerjaan di tempat lain," katanya ketika ditanya mengenai rancangan luar jangka kerajaan menangani kemungkinan berlakunya pemberhentian pekerja dalam sektor minyak dan gas.

Beliau berkata kementerian menjangkakan pemberhentian pekerja berterusan sehingga 2017.

The Malaysian Insider baru-baru ini melaporkan kira-kira 20,000 orang kehilangan pekerjaan mereka pada tahun lepas, dan ramai lagi dijangka diberhentikan tahun ini, menurut Persekutuan Majikan Malaysia.

Komen Riot susulan laporan syarikat minyak negara Petronas sedang menimbang pemberhentian pekerja sebahagian daripada 51,000 kakitangannya sebagai salah satu pilihan kerana berhadapan dengan harga minyak yang rendah.

Firma itu terpukul oleh kejatuhan harga minyak, yang jatuh ke tahap paling rendah sejak 2003 pada hari Isnin.

Harga jatuh lebih 70% dalam tempoh 18 bulan lalu kerana pengeksport di seluruh dunia mengeluarkan lebih satu juta tong minyak mentah setiap hari, melebihi permintaan.



The Edge Weekly sebelum ini melaporkan Shell Malaysia akan mengurangkan 1,300 pekerja dalam tempoh 2 tahun akan datang, sambil menambah ia sudah dijangka kerana kejatuhan harga minyak. 

Riot hari ini merujuk kepada nasihat supaya melakukan dua pekerjaan bagi menampung hidup, sebagaimana saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan sebelum ini, yang dikritik banyak pihak. 

"Ada orang kata, dengan kos hidup begitu tinggi, carilah pekerjaan kedua.

"Mencari pekerjaan pertama pun susah, apatah lagi untuk mencari pekerjaan ke-2," kata Riot, tetapi tidak menyebut nama Ahmad.

Cadangan Ahmad, yang mempunyai hastag Twitternya sendiri #2kerja, sudah menjadi realiti bagi ramai rakyat Malaysia kelas pekerja yang mengatakan, kerja ke-2 adalah satu keperluan untuk menyara keluarga mereka.

Source from TheMalaysianInsider

No comments:

Post a Comment