Najib beri gambaran tidak benar kepada Agong – Tun M
Tindakan pertukaran itu didakwa kerana mahu menyelamatkan Najib dan menghalang penyiasatan 1MDB.
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa memberi gambaran tidak benar kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semasa beliau meminta perkenan bagi menggantikan Peguam Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan pertukaran itu adalah disebabkan mahu menyelamatkan Najib dan menghalang penyiasatan 1MDB.
“Belum pasukan petugas berjaya selesaikan tugasan mereka, Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) disingkir oleh Najib atas alasan beliau sakit dan tidak mampu meneruskan tugasannya.
“Secara terang Najib telah memberi gambaran yang tidak benar kepada YDPA untuk mendapatkan perkenan Tuanku bagi menggantikan Peguam Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dilumpuhkan apabila pengerusi serta beberapa ahlinya dipindahkan oleh Najib bagi menghalang penyiasatan ke atas 1MDB,” katanya pada sidang media di Rumah Kelab Alumni Universiti Malaya (UM), hari ini.
Dalam pada itu, Dr Mahathir turut berkata, pengerusi baru PAC yang dilantik Najib juga merupakan kenalannya dan secara terang-terangan menyatakan Perdana Menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Sebelum ini, khidmat Abdul Gani sebagai Peguam Negara ditamatkan mulai 27 Julai 2015 atas alasan kesihatan.
Tempat Abdul Gani digantikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
-FMT NEWS-
No comments:
Post a Comment