PETALING JAYA: Biro Profesional Muda Umno mendakwa kerajaan mungkin hilang pendapatan sebanyak RM110 bilion dalam tahun pertama Pakatan Harapan memerintah negara jika gabungan pembangkang menunaikan janji pilihan raya mereka.
Pengerusi Shahril Hamdan berkata beliau menemui perkara itu selepas pengiraan beberapa janji Pakatan Harapan kepada rakyat seperti penghapusan tol dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
“Kalau kita lihat janji PH seperti menghapuskan tol, mengenakan kadar sifar GST, pemberian 20% royalti minyak kepada beberapa buah negeri serta beberapa perkara lagi, kerajaan akan hilang pendapatan RM110 bilion,” kata Shahril lapor Sinar Harian Online.
“Sekiranya PH memenangi PRU14 dan merealisasikan semua janji ini mereka, kerajaan di bawah pimpinan mereka mungkin kehilangan pendapatan dalam amaun ini pada tahun pertama mereka memerintah,” tambahnya.
Shahril berkata PH sehingga kini belum membentangkan pelan kewangan yang akan menggantikan kehilangan sumber pendapatan kerajaan itu.
Menurut laporan itu lagi, Shahril mengakui pengenaan kadar GST 0% akan meningkatkan kewangan rakyat sekaligus mengalakkan perbelanjaan yang menjana ekonomi adalah laungan yang baik, namun langkah itu tidak menjana pendapatan untuk kerajaan.
“Perbelanjaan rakyat tidak menyumbang kepada pendapatan kerajaan bagi melakukan pembangunan dalam negara seperti membina hospital, sekolah, jalanraya dan sebagainya,” katanya.
Pakatan Harapan dilaporkan sedang menyiapkan manifesto yang akan menumpukan kepada isu sara hidup rakyat, yang dijangka akan memuatkan ikrar memperkenalkan sistem cukai progresif menggantikan GST, menyambung semula pemberian subsidi, pemberian royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak dan gas, dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
No comments:
Post a Comment