Najib: PAU Umno Disember ini akan ditangguh kalau ada PRU


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno yang akan diadakan hujung tahun ini akan ditangguh sekiranya pilihan raya umum diadakan pada awal Disember.
Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata demikian selepas mengumumkan Perhimpunan Agung Umno ke-17 akan diadakan pada 5 hingga 9 Disember.

“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa,” katanya dalam rakaman yang diterima FMT, selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.
Pada 26 Jun 2015, Najib mengumumkan pemilihan Umno yang sepatutnya diadakan pada 2016 ditangguh selama 18 bulan bagi memastikan kemantapan parti menghadapi PRU14.
Beliau hari ini mengulas laporan The Star yang melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata Umno dan komponen BN lain sudah mengemukakan senarai pendek calon mereka untuk pilihan raya umum ke-14.
Menurut Najib, BN masih memproses calon yang akan bertanding pada PRU14 akan datang.
Sementara itu, Najib berkata beliau akan membangkitkan komitmen negara kepada keselamatan serantau dan hubungan ekonomi Malaysia-Amerika Syarikat dalam pertemuan dengan Presiden AS Donald Trump di Rumah Putih, 12 September ini.
“Topik utama adalah perjuangan kita menentang keganasan dan peranan Malaysia bagi membuatkan Asia Tenggara aman, dan bagaimanapun untuk memperbaiki hubungan ekonomi dengan AS,” katanya.

No comments:

Post a Comment