'Tunggu Najib keluar Umno'


Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin menyifatkan perbuatan yang sama tidak semestinya membawa natijah yang sama.
Menurutnya, golongan imam mujtahidin apabila ditanya tentang perkara pelik yang belum terjadi akan menentukan hukum selepas perkara tersebut berlaku terlebih dahulu.
"Seseorang yang berlari laju menjadikan fizikalnya semakin sihat. Tapi ada orang lain yang berlari laju boleh jatuh pengsan dan mati.
"Seorang lelaki datang berjumpa Ibnu Sirin dan memberitahu dia bermimpi melaungkan azan. Ibnu Sirin berkata, kamu akan menunaikan haji. Tak berapa lama, orang itu pun berhaji.
"Seorang lelaki lain datang dan memberitahu Ibnu Sirin mimpi yang sama. Kata Ibnu Sirin kamu akan dipotong tangan kerana mencuri. Memang berlaku seperti yang dita'birkan itu.
"Mengapa mimpi yang sama membawa ta'biran yg berlainan? Kerana orang yang bermimpi adalah orang yang berbeza," jelasnya.
Mengulas pertikaian pihak tertentu berhubung penerimaan Pakatan Harapan terhadap Tun Mahathir, beliau berkata, hal tersebut belum tentu akan berlaku ke atas Datuk Seri Mohd Najib Razak.
"Kalau Tun M (Mahathir) keluar Umno, kita sokong dan terima Tun M, maka adakah jika Najib keluar Umno, kita terima Najib dan sokong Najib?
"Jawabnya, belum tentu. Sebab Tun M dan Najib tidak sama. Kita tentukan sikap terhadap dia (Mahathir) selepas dia secara jelas menentukan sikapnya terhadap Umno dan kita," katanya.

Sehubungan itu, jelas Zolkharnain, sikap terhadap Najib akan ditentukan jika Presiden Umno berkenaan keluar dari parti tersebut.
"Jadi, nak sokong Najib atau tidak jika dia keluar Umno? Jawabnya, tunggu dia keluar dululah, baru tahu natijahnya," ujar beliau lagi dipetik dari status Facebook beliau hari ini.
Pada 25 Julai lalu, beberapa peserta dalam forum 'Mahathir: Ejen Perubahan atau Ejen Pemusnah' di ibu negara mengecam kewajaran Pakatan Harapan melantik Tun Mahathir sebagai Pengerusi serta menyoal kemungkinan Najib juga akan dimaafkan.
"Penat dah dengar ceramah politik, badut-badut ni, dah tiba masanya anak-anak muda sekarang bangkit. Ini masa kita," selar salah seorang peserta, Harris sebelum meninggalkan forum itu tanpa mendengar maklum balas ahli panel.
Barisan ahli panel dalam forum anjuran Kelab Bangsar Utama itu adalah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu; Ahli Parlimen Sungai Siput dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj, serta aktivis Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.

No comments:

Post a Comment