Najib ke White House, lupakan 1MDB seketika


Datuk Seri Najib Razak akan ke Washington DC, Amerika Syarikat pada 12 September depan.
Menurut kenyataan Putrajaya, ia atas jemputan Presiden Donald Trump.
Media tempatan dan juga AS sedang menjana tekanan agar lawatan ini dibatalkan. Kebetulan pula, semua tekanan ini menggunakan skandal 1MDB sebagai alasan.

Dalam kolum New York Times, Gardiner Harris berkata lawatan ini akan memberikan kelebihan kepada Najib kerana ia akan mematikan khabar angin beliau akan ditangkap sekiranya melangkah ke AS kerana isu penyelewengan 1MDB.
Khabar angin yang disebut oleh Gardiner seiras dengan amaran yang diberikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2015 bahawa Najib mungkin akan ditahan oleh Interpol sekiranya beliau keluar dari Malaysia.
Dr Mahathir membuat ramalan itu ketika isu 1MDB rancak disiasat oleh Switzerland, Britain dan AS.
Selain NYT, The Wall Street Journal juga menempelak Trump kerana menjemput Najib ke AS.
“Sebarang kesipuan adalah lebih baik daripada memberikan suatu photo-op kepada pemimpin yang sedang berdepan dengan skandal ini,” kata WSJ.
Ahli politik pembangkang juga bernada sama menggesa agar Najib menolak jemputan Trump ke AS.
Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata lawatan Najib ke AS memalukan negara selagi Najib tidak membersihkan diri setelah dicap sebagai seorang kleptokrat dengan dirujuk sebagai “MO1” dalam saman pelucuthakan kleptokratik terbesar DOJ.
Cynthia Gabriel, Pengarah Eksekutif kumpulan anti-rasuah C4, turut mempertikaikan jemputan Trump kepada Najib dan berkata jemputan itu sebagai satu langkah buruk.
Tanpa 1MDB
Namun begitu, jika isu 1MDB dikeluarkan daripada persepsi lawatan Najib ke AS ini, sebenarnya lawatan ini amat penting bagi Malaysia. Dari sudut kedaulatan dan ekonomi negara, banyak yang perlu dibincangkan di antara Malaysia dan AS.
Antaranya, mengimbangi pengaruh China ke atas Malaysia.
Melalui lawatan Najib ke AS, mesej yang tersirat kepada China ialah meskipun banyaknya pelaburan mereka di negara kita, Malaysia tetap sebuah negara yang berdikari yang boleh berkawan dengan sesiapa sahaja.
Lawatan ini juga dapat mengurangkan sedikit tekanan daripada China di dalam pergelutan kuasa ke atas Laut China Selatan.
Lawatan ke AS ini juga penting untuk memberitahu AS bahawa mereka tidak dilupakan meskipun Malaysia sedang berduyun-duyun menerima pelaburan dari China, termasuklah projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).
Selain itu, Malaysia perlu menggunakan peluang ini untuk mematikan persepsi bahawa Malaysia adalah lubuk bisnes kepada Korea Utara ekoran terdedahnya syarikat menjual peralatan perang beroperasi dari pejabatnya di Kuala Lumpur, yang dikaitkan dengan kegiatan intipan bagi pihak Korea Utara.
Awal Februari lalu, Reuters memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kewujudan pejabat syarikat bernama Glocom itu di tingkat 2 sebuah bangunan usang di Brickfields.
Reuters turut mendapati Glocom mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi “tentera dan separa tentera” menerusi laman webnya di Malaysia, glocom.com.my, yang kini tidak boleh dicapai.
Malaysia adalah antara beberapa negara di dunia yang mempunyai hubungan baik dengan Pyongyang. Bagaimanapun, hubungan itu menjadi tegang selepas Kim Jong Nam – abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.
Bukan itu sahaja, Malaysia perlu mencari hala tuju ekonomi yang baharu bersama AS selepas perjanian Perkongsian Rentas Pasifik (TPP) dibunuh Trump.
Trump pernah berkata beliau akan berunding “satu ke satu” dengan negara terlibat dalam TPP untuk mencari syarat lebih “menguntungkan” AS.
Kita perlu mengakui, ekonomi dunia hari ini dikuasai China dan AS yang saling sangsi antara satu sama lain. Dalam dunia sedemikian, Malaysia tidak perlu bermusuh dengan sesiapa.
Adalah lebih baik, hubungan yang baik antara Malaysia dengan kedua-dua gergasi tersebut dijaga demi masa depan negara dan menggunakan saling sangsi antara AS dan China untuk menjaga kepentingan negara.
Oleh itu, meskipun Najib mempunyai kepentingan peribadi untuk memenuhi lawatan ini, tapi gesaan menolak jemputan Trump adalah tidak baik untuk Malaysia. Kepentingan negara mengatasi segalanya.
Apapun, lawatan Najib ke AS tiada kesan pada isu 1MDB. Skandal itu tetap wujud dan persepsi terhadap skandal itu tidak akan terbatal hanya kerana adanya lawatan Najib ke AS.
Kepada pembangkang yang risaukan rakyat tidak akan mempercayai isu 1MDB lagi atau lawatan ke AS ini akan memalukan negara, saya cuma nak bertanya: apa lagi yang boleh dimalukan lagi dalam isu 1MDB ini?
Jika difikirkan sejenak, sekiranya Riza Aziz masih boleh bebas bergerak di AS, manalah ada orang percaya cakap-cakap Najib akan ditangkap setibanya di AS melainkan penyebar khabar angin ini?
Oleh itu, usahlah risau isu 1MDB ini akan hilang dengan lawatan Najib ke AS.
Yang hilang bukan isu 1MDB, tapi mungkin cerita-cerita ajinomoto berlebihan mengenai 1MDB, itu sahaja.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments:

Post a Comment