KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menasihatkan media dalam talian untuk tidak menyebarkan “fake news” dengan melaporkan kenyataannya secara sempit dan negatif.
Beliau melihat rakyat kini disuapkan dengan berita palsu terutama sekali oleh media dalam talian, menyebabkan pembaca keliru akan hasrat kerajaan dan membenci pentadbirannya.
“Kebanyakan telah dirancang untuk menimbulkan kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan atau sekurang-kurangnya mengelirukan rakyat akan apa tujuan sebenarnya. Kadang-kadang kenyataan dibuat oleh pemimpin disalahertikan ataupun dikilas untuk mengelirukan rakyat.”
Najib berkata pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini contoh aktiviti kerajaan yang menjadi mangsa laporan dalam talian yang tidak bertanggungjawab.
“Saya beritahu saya datang sini untuk kukuhkan ekonomi, tetapi bila saya kata sedemikian maksudnya bukan kita sebagai penyumbang dana pada ekonomi AS tanpa kita menerima perubahan. Maknanya kita bukan minta sedekah tetapi kita hadir sebagai negara berjaya, yang boleh jadi pelaku global yang penting,” katanya pada majlis minum petang bersama wartawan wanita negara di Hotel Seri Pasifik hari ini.
Najib dalam pertemuan di Rumah Putih 12 September lepas dilaporkan berkata Malaysia Airlines akan membeli 25 pesawat Boeing 737 dan 8 pesawat 787 Dreamliners, dengan kemungkinan pembelian 25 pesawat 737 pada masa depan. Urusjanj itu dikatakan akan bernilai lebih AS$10 bilion dalam masa 5 tahun.
Najib juga dilaporkan berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur AS$3 bilion hingga AS$4 bilion lagi dalam pembangunan semula prasarana AS.
Pertemuan itu bagaimanapun dikritik Pakatan Harapan, yang mengatakan tidak masuk akal Malaysia sebagai sebuah negara membangun berbelanja untuk memperkasakan ekonomi negara dunia pertama seperti AS.
Najib bagaimanapun berkata pertemuan dengan Trump itu sebahagian daripada strategi Malaysia dengan kuasa besar seperti AS.
“Malaysia mempunyai hubungan geo politik dengan Beijing, Washington, Riyadh, New Delhi dan banyak megara lain dan ini antara strategi kita untuk memajukan negara,” katanya.
“Senang ke nak dapat jemputan di Rumah Putih oleh Trump dan saya merupakan perdana menteri pertama dapat jemputan tahun pertama presiden Amerika Syarikat,” tambahnya secara jenaka.-FMT NEWS-
No comments:
Post a Comment