Najib serang ‘bekas pemimpin’ guna media barat untuk pembohongan



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad tanpa menyebut nama bekas perdana menteri itu, sambil mendakwa media barat kerap memaparkan “pembohongan” terhadap negara.


“Dari semasa ke semasa, beberapa saluran media barat memaparkan wawancara dengan seorang daripada bekas pemimpin kami dan mengemukakan dakwaannya tentang negara ini sebagai suatu fakta,” katannya ketika berucap pada di sebuah majlis anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) malam tadi.
Perdana menteri yang kerap menyasarkan Dr Mahathir tanpa menyebut namanya, berkata “bekas pemimpin” itu menyebarkan “berita palsu” mengenai Malaysia demi kepentingan diri.
Najib mempertikaikan dakwaan oleh “bekas pemimpin” itu yang Malaysia adalah antara 10 negara paling korup di dunia, sambil membandingkannya dengan kajian Transparency International yang tidak meletakkan Malaysia walaupun di senarai 100 negara korup.
Dr Mahathir dalam beberapa penulisan di blognya sebelum ini berkata Malaysia tidak lagi dihormati masyarakat antarabangsa oleh kerana kedudukannya sebagai antara 10 negara paling korup.
“Fakta ini diketahui dunia. Rakyat Malaysia tahu lebih lanjut. Mereka tahu kerajaan Malaysia banyak berhutang, berada dalam defisit dan tidak mampu memenuhi peruntukan bajet,” kata Dr Mahathir dalam salah satu catatan beliau.
Najib sebaliknya berkata pentadbirannya memberi ruang untuk demokrasi, dan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri di samping memberikan kebebasan lebih kepada media dan golongan pelajar.
“Sanjungan tinggi terhadap Malaysia sebagai sebuah demokrasi dan diakui melaksanakan tadbir urus yang baik terserlah menerusi sambutan yang diterima delegasi kerajaan Malaysia di White House, 10 Downing Street, Beijing, New Delhi, Berlin dan beberapa kerajaan negara lain,” katanya.
Menurutnya, program terkini dalam bentuk Transformasi Nasional 2050 (TN50), iaitu rancangan negara maju dalam jangka masa 30 tahun akan datang, adalah sebahagian daripada tadbir urus baik diamalkan beliau sejak mengambil alih jawatan perdana menteri.
“Ini satu lagi contoh yang jelas tentang kerajaan Malaysia yang mengamalkan tadbir urus baik dalam menanggapi keperluan penduduk muda yang sentiasa berubah,” katanya.



No comments:

Post a Comment