Oleh Liew Chin Tong
Dari sudut ekonomi, kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersikap angkuh dan tidak peduli. Najib tidak memahami kehidupan rakyat biasa dan tidak bersedia mengakui bahawa pengurusan ekonomi Najib atau Najibnomics gagal memenuhi keperluan rakyat Malaysia. Apabila kebimbangan disuarakan, mereka yang bersuara dan mengeluh pula dipersalahkan.
Hujung minggu lalu, Najib membidas pihak yang mengkritik dasar GST. Baginya, cukai regresif 6% itu baik untuk negara dan tiada orang yang seharusnya mengeluh atau mengadu tentang cukai itu.
Dengan nada sindiran, beliau dipetik media sebagai berkata: “GST di India 28%. Please remember that (tolong ingat tu). Kita baru 6% itu pun dah riuh-rendah bising. Marah kerajaan.” Sebenarnya fakta Najib tentang GST India pun salah dan tidak tepat.
Saya lebih terkejut apabila Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah mendakwa: “Jika orang itu miskin, saya percaya bahawa mereka yang membuat diri sendiri miskin. Jika mereka ada tangan dan kaki untuk berjalan, mereka boleh hidup di Malaysia.”
Irwan berkata, tiada alasan rakyat Malaysia menjadi miskin kerana ada banyak peluang untuk mereka hidup senang.
Menurut beliau: “Jika ada pihak yang berkata ekonomi Malaysia merosot, rakyat miskin, mereka silap. Kita bukan seperti negara terbeban hutang seperti Bangladesh dan kita tidak juga seperti Filipina. Mereka (yang mengatakan Malaysia negara miskin) cuba mengelirukan rakyat.”
Ketika krisis ekonomi 1985 sekurang-kurangnya kerajaan Malaysia mengaku wujudnya krisis. Begitu juga dengan krisis ekonomi 1997 yang setidak-tidaknya terdapat maklum balas – meskipun ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim berbalah tentang pendekatan yang perlu diambil untuk menangani krisis tersebut.
Malangnya, situasi yang kita ada hari ini adalah “krisis yang disenyapkan” yang enggan diakui oleh kerajaan Najib sama sekali. Kerajaan malah memuji-muji diri sendiri atau menyalahkan rakyat seperti yang dilakukan Irwan sewaktu rakyat Malaysia sedang menderita.
Sejak pilihan raya umum lalu, akibat kesan gabungan pelaksanaan GST pada 1 April 2015, kejatuhan nilai ringgit sejak Oktober 2014, serta pemansuhan subsidi secara berterusan, harga barangan meningkat secara kerseluruhan. Situasi ini menyebabkan pendapatan boleh-guna rakyat terjejas dan memburukkan lagi sektor kepenggunaan domestik.
Semua ini terjadi dengan tiada peningkatan gaji kerana tiada percubaan untuk mengurangkan kemasukan buruh luar yang tidak berkemahiran mahupun campur tangan kerajaan untuk industri meningkatkan penghasilan melalui teknologi yang ada.
Semakin ramai rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan di luar negara. Jumlah rakyat Malaysia yang setiap hari berulang-alik ke Singapura melalui Tambak Johor meningkat daripada 200,000 kepada 300,000 dalam tempoh 4 tahun kebelakangan. Kebanyakan mereka terpaksa bekerja di sektor sukar, kotor, dan bahaya yang bergaji rendah. Tidak kurang juga rakyat Malaysia yang bekerja secara haram di United Kingdom dan Australia.
Jika ingin menangani krisis ekonomi yang timbul hari ini, pertama-tamanya kerajaan perlu mengakui memang wujud krisis ini. Kerajaan juga perlu berhenti menyalahkan dan memperli rakyat. Sikap kerajaan itu hanya menunjukkan bahawa Najibnomics tidak peduli dengan kesukaran yang dihadapi rakyat biasa.
Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen Kluang
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
No comments:
Post a Comment