Sambutan ambang kemerdekaan dipindahkan ke Bukit Jalil.
BERSIH4 2.30pm: Dataran Merdeka - Selepas mesyuarat dengan Ketua Polis Dang Wangi Zainol Samad, Pegerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memberitahu bahawa sambutan ambang kemerdekaan dipindahkan ke Bukit Jalil.
"Sambutan malam ini diadakan di Bukit Jalil, tapi perarakan Merdeka esok akan diadakan di sini (Dataran Merdeka)," katanya.
Maria kemudiannya berkata beliau mengucapkan terima kasih kepada polis kerana bekerjasama dan beliau berjanji akan menamatkan perhimpunan BERSIH sebelum tengah malam.
Sementara itu, Maria berkata beliau tidak ambil berat khabar angin bahawa bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat penampilan sekali lagi dalam perhimpunan itu.
"Jika dia datang, kita akan sambutnya sebagai peserta," kata Maria.
Sementara itu, Bernama melaporkan persiapan akhir sambutan Hari Kebangsaan 2015 di Dataran Merdeka terjejas kerana laluan masuk dihalang oleh peserta perhimpunan Bersih 4 yang berkumpul memenuhi kawasan sekitar lokasi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Acara Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan 2015, Datuk Seri Othman Mahmood berkata persiapan untuk acara Hari Kebangsaan yang akan disambut esok itu tidak berjalan dengan lancar seperti yang dirancang.
"Setakat pagi ini, saya dan beberapa pegawai dari Jabatan Perdana Menteri hanya dapat menyempurnakan persiapan sambutan sebanyak 50 peratus sahaja.
"Banyak peralatan dan barangan keperluan tidak dapat dibawa masuk ke Dataran Merdeka dan kami hanya mempunyai kurang daripada 17 jam untuk menyempurnakan persiapan itu," katanya ketika ditemui oleh pemberita di ibu negara, hari ini.
No comments:
Post a Comment