Pemuda AMANAH Nasional meminta Jabatan Peguam Negara memberikan kerjasama berhubung siasatan jenayah Amerika Syarikat terhadap skandal kewangan 1MDB.
Timbalan Ketuanya Faiz Fadzil berkata kenyataan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) yang memohon penangguhan prosiding saman 'civil forfeiture' untuk pelucutan hak aset-aset bernilai AS$1.7 bilion bagi membolehkan siasatan jenayah dijalankan pihak kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan skandal penyelewengan 1MDB semakin serius.
"Walaupun saman tersebut dikatakan sesetengah pihak sebagai saman sivil, namun saman tersebut difailkan di bawah undang-undang jenayah Amerika Syarikat iaitu US Code 1956 Title 18 berkaitan rampasan dan penyitaan aset-aset yang diperolehi melanggari undang-undang jenayah pengubahan wang haram.
"Fakta-fakta yang didedahkan di dalam saman tersebut juga jelas suatu fakta prima facie salah laku jenayah pecah amanah, penipuan dan rasuah dilakukan pelbagai individu yang berpengaruh di Malaysia termasuk MO1, Jho Low, Riza Aziz dan beberapa pegawai tinggi 1MDB," kata Faiz dalam kenyataan.
"Kemungkinan untuk nama-nama yang disebut dalam saman tersebut disiasat Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak boleh diketepikan memandangkan mereka adalah saksi-saksi penting dan utama skandal 1MDB ini yang disebut dalam saman tersebut.
Justeru, Faiz meminta pihak peguam negara untuk menasihatkan MO1 dan mengarahkan Ketua Polis Negara mencari Jho Low dan Riza Aziz untuk diserahkan kepada FBI bagi membantu siasatan jika diminta berbuat demikian oleh FBI.
"Masa telah tiba untuk Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bertindak membersihkan nama negara dan bukannya membela mana-mana individu yang berkepentingan," katanya lagi.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesahkan MO1 merujuk kepada perdana menteri Najib Razak.
Perdana menteri telah menafikan dakwaan tersebut dan Peguam Negara Apandi Ali juga membebaskan beliau daripada sebarang salah laku.
Jabatan Kehakiman (DOJ) AS telah mengemukakan permohonan penangguhan saman sivilnya untuk merampas pelbagai aset didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB yang disalahgunakan.
Permohonan itu, kata DOJ, dibuat bagi membolehkan siasatan jenayah yang dilakukan kerajaan AS dapat diteruskan.
Ia termasuk 13 daripada 14 saman bagi melucutkan hak ke atas aset itu yang difailkan DOJ pada Julai tahun lalu.
No comments:
Post a Comment