Nothing to Hide 2.0 yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, Shah Alam petang ini berjalan tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahupun ahli Umno.
Bahkan Presiden Gabungan NGO Selangor Datuk Seri Jamal Md Yunos dan juga Ketua Bahagian Sungai Besar yang dikatakan akan membuat kejutan, tidak muncul sehingga jam 3.30 petang ini.
Sebanyak 40 kerusi yang disusun dengan tag "Delegasi Najib" sebaliknya diduduki kalangan penyokong Pakatan Harapan tanpa menghiraukan tag yag diletakkan khusus untuk wakil Najib dan ahli Umno.
Hadirin melebihi 1,000 orang memenuhi dewan dari kalangan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.
Nothing to Hide 2.0 menampilkan Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kehadiran masuk ke dewan Dr Mahathir bersama isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diiringi pimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir jam 3.50 petang disambut dengan nyanyian lagu "Negaraku" dan bacaan doa oleh Pengerusi Agama Bersatu Ustaz Hassan Ismail.
Antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir ketika ini Ketua DAP Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin, Datuk Zaid Ibrahim serta Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil
Turut kelihatan ialah Adun Selat Klang dari Pas Dr Halimah Ali.
Moderator Azhar Harun ketika menyampaikan kata aluan mengharapkan Najib dan wakil Umno akan hadir ke forum dan diskusi Nothing to Hide 2.0 kali ini.
Dalam ucapan pembukaan, Mahathir berpandangan ketidakhadiran Najib itu menunjukkan banyak yang disembunyikan oleh presiden Umno itu.
"Dalam Nothing to Hide 2.0 ini nampak jelas ketidakhadiran Najib jelas 'he has a lot to hide'.
"Rakyat jangan bagi peluang dan jangan takut. Saya berpendapat Najib akan cuba rasuah bagi duit untuk undi dan akan membuat janji palsu bagi partinya sepertimana dia buat dahulu," ujarnya.
Beliau menegaskan program ini diadakan untuk mendapatkan kepastian berkaitan dengan dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dan mengaitkan nama Najib sebagai kleptokrasi global.
"Saya kata ini (pentas) supaya dia boleh jawab jika tak berani datang sini tempat lain pun boleh jawab.
"Saya jawab di sini DOJ yang kata negara kita negara penyangak PM dituduh curi duit tetapi menteri pula sokong.
"PM datanglah sini....jika betul kita puji tang mana tak patut, kita tegurlah," ujarnya.
Bahkan Mahathir turut menegaskan semula bahawa ahli Umno perlu mengadakan undi tidak percaya kepada presiden Umno itu dan turut mengulangi gesaanya agar Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali supaya bersumpah berkaitan 1MDB.
No comments:
Post a Comment