PKR kena pilih berada dalam 2 kolam atau…


Oleh Rafizi Ramli
Persoalan mengenai bentuk kerjasama di antara PKR dengan PAS berpanjangan kerana ia 1 keputusan yang memberi kesan kepada semua, bukannya PKR semata-mata.
Keputusan sama ada PKR menumpukan kepada persediaan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH) sepenuhnya, termasuk bersedia menghadapi pertandingan 3 penjuru dengan PAS atau “berada di dalam 2 kolam” bersama PH tetapi juga bekerjasama dengan PAS untuk mengelakkan pertandingan 3 penjuru adalah keputusan yang perlu mengimbangi perkara-perkara berikut:
i. Soal prinsip – adakah keperluan mengekalkan kemenangan di Selangor atau mengekalkan kemenangan di kerusi-kerusi PKR di seluruh negara mengatasi perkara-perkara prinsip yang selama ini menjadi roh perjuangan PKR
ii. Soal realiti semasa – apakah situasi sokongan rakyat sekarang kepada setiap parti untuk menilai sama ada pertandingan 3 penjuru yang sangat ditakuti itu benar-benar memberi kelebihan mutlak kepada Umno seperti yang dihujahkan beberapa pihak?
iii. Soal tanggungjawab moral – bahawa PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk berada di barisan paling hadapan dalam usaha menumpaskan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak demi membela rakyat. Keutamaan membela rakyat adalah nadi yang menghidupkan parti ini sejak hari pertama saya mengenalinya
Sudah tentu ketiga-tiga perkara di atas adalah pertimbangan berat dan saling berhubung kait. Ia disukarkan lagi kerana penilaian kepada ketiga-tiga perkara banyak bergantung kepada persoalan tahap sokongan pengundi semasa yang tidak dapat dipastikan dengan mudah.
Satu-satunya cara yang paling objektif untuk menentukan tahap sokongan pengundi semasa ialah dengan bersandarkan kepada laporan-laporan kaji selidik tahap sokongan pengundi. Masalahnya badan kaji selidik yang berlainan memberi gambaran dan laporan yang sangat berbeza.
Perbezaan pendapat yang berpanjangan
Sebab itu, kepimpinan kanan PKR baik di Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP) memang berbeza pendapat mengenai perkara ini sejak sebelum pun PH ditubuhkan.
Malah semasa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan penubuhan PH dan saya mengaturkan langkah-langkah sebelum dan selepas itu, kumpulan yang tidak bersetuju dengan penubuhan PH telah mengumpul 1 petisyen untuk memecat saya dari jawatan setiausaha agung pada ketika itu.
Hakikatnya, perbezaan pendapat itu berlarutan sejak pertengahan 2015 hingga sekarang di antara 2 pemikiran berbeza dalam PKR.
Di 1 pihak merasakan keutamaan parti yang tertinggi ialah mengekalkan tampuk pemerintahan di Selangor. Oleh itu, sebarang keputusan politik PKR mestilah mengambil kira terlebih dahulu kesannya kepada penguasaan PKR sebagai tonggak kerajaan Selangor.
Hasil dari pendapat ini adalah mudah: PKR tidak sepatutnya mengambil langkah yang ada risiko kerana sebarang risiko boleh menyebabkan ketidaktentuan kepada kerajaan Selangor. Maka, pihak ini sangat menolak sebarang perbincangan yang boleh menyebabkan berlakunya pertembungan 3 penjuru dalam pilihan raya.
Pendekatan pragmatis begini tidaklah mengejutkan kerana itu perkara biasa dalam politik. Keakraban segelintir sahabat-sahabat pimpinan dalam PKR dengan PAS dalam perkara ini bukanlah atas kecintaan kepada PAS kerana beberapa orang pemuka utama yang membawa aliran ini (seperti Latheefa Koya, N Surendran dan Sivarasa) mempunyai rekod yang panjang mengkritik PAS sebelum itu.

Di 1 pihak lagi merasakan PKR mempunyai tanggungjawab moral untuk terus memimpin pembelaan rakyat melalui pembentukan 1 gabungan pembangkang yang berpandukan kepada prinsip keadilan sosial dan merangkumi semua kumpulan, kaum dan agama bagi menyambung usaha yang dimulakan melalui Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Relevannya PKR dalam politik tanah air adalah kerana PKR adalah orang tengah yang menyatukan pelbagai kumpulan dan parti di dalam barisan pembangkang.
Kumpulan ini meletakkan tanggungjawab itu mengatasi kepentingan memenangi kerusi kerana prinsip dan rekod perjuangan adalah lebih penting dari pragmatis politik untuk berkuasa semata-mata. Kemenangan yang menampakkan PKR sanggup mengorbankan prinsip perjuangan akan menyebabkan PKR dilihat sebagai tidak berbeza dengan Umno atau parti-parti lain.
Seluruh dunia tahu bahawa antara pimpinan kanan PKR yang berpendapat begini adalah saya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (setiausaha agung), Datuk Johari Abdul (ketua whip), Nik Nazmi Nik Ahmad (ketua AMK), Datin Paduka Tan Yew Kew (bendahari agung), Syed Ibrahim Syed Noh (ketua penerangan) dan William Leong sendiri.
PKR terbahagi 2
Sudah tentu perbezaan pendapat dalam perkara besar yang berlanjutan panjang seperti ini akan meresahkan mana-mana parti. Ramai juga pimpinan yang menjadi serba salah kerana perbezaan pendapat di antara 2 pihak seperti ini dan kelihatan tersepit di tengah-tengah.
Maka, tugas Dr Wan Azizah sebagai presiden parti bukanlah mudah. Saya faham beliau terpaksa mengemudi PKR tanpa dilihat menyebelahi mana-mana pihak kerana kedua-dua pendapat tadi masing-masing ada baik dan buruknya. Walau apa pun kritikan terhadap beliau, saya terhutang budi kepada beliau kerana memimpin PKR membidani lahirnya PH di celah-celah kecelaruan politik negara tanpa mengendahkan bantahan termasuk dari aktivis-aktivis masyarakat sivil.Keputusan awal sejak 2015 ialah supaya PKR membina PH dan dalam masa yang sama mengambil pendekatan bersaudara dengan PAS atas kepercayaan perselisihan PAS dengan rakan-rakan dalam PH dapat diredakan.
Matlamat utama ialah untuk membina 1 barisan pembangkang yang kuat untuk masuk PRU14 dan kaedah paling logik ke arah itu ialah dengan mendapat persetujuan 1 lawan 1 di antara parti-parti pembangkang utama negara (termasuk PAS, sama ada ia berada dalam Pakatan Harapan atau tidak).
Walau bagaimana pun, dalam keadaan PRU14 semakin hampir dan banyak perkembangan terkini membayangkan PAS tidak akan bersetuju untuk tidak bertanding di kerusi-kerusi yang diagihkan kepada Amanah dan PPBM, sudah tentu persoalan timbul sama ada strategi pragmatis untuk terus mendampingi PAS itu wajar.
Pertembungan di antara 2 pendekatan ini (pragmatis lawan prinsip) dirumitkan lagi apabila tiadanya persetujuan mengenai laporan kaji selidik yang mana yang perlu dijadikan panduan. Lebih-lebih lagi, laporan-laporan kaji selidik yang digunakan oleh kedua-dua pihak bukan sahaja berlainan tetapi dapatannya juga adalah bertentangan.
Kumpulan yang masih mahu mendampingi PAS sering memetik dapatan-dapatan dari Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan yang menurut mereka menunjukkan (dari kaji selidik kedua-dua badan ini) bahawa PAS adalah parti Melayu yang paling kuat. Oleh itu, pada perkiraan mereka, sebarang pertandingan 3 penjuru dengan PAS akan menyebabkan Umno menang besar.
Malah, perkembangan terakhir yang mendorong kepada keputusan untuk terus berunding dengan PAS walaupun PH telah jauh berlari ke depan adalah bersandarkan pembentangan terkini Profesor Datuk Dr Redzuan Othman (dari Institut Darul Ehsan) dan Profesor Mohd Noor Nawawi (dari Unisel).
Mereka memberi pendapat, berdasarkan kajian mereka, pengundi bukan Melayu sangat membenci Umno sehinggakan mereka akan tetap mengundi PKR/PH walaupun PKR dilihat terus berunding dan menjalin kerjasama dengan PAS. Oleh itu, demi mencapai pertandingan 1 lawan 1, rundingan mesti diteruskan kerana ia tidak ada kesan besar kepada sokongan pengundi bukan Melayu kepada PKR.
Saya tidak pernah melihat data yang terperinci dari Merdeka Center atau Institut Darul Ehsan. Kaedah dan jenis sampel kaji selidik yang mereka jalankan juga berbeza dari apa yang dikendalikan oleh Pusat Kaji Selidik Invoke yang saya rujuk dalam memahami pola sokongan rakyat terkini.
Sudah tentu dapatan kaji selidik Invoke sangat berbeza malah bertentangan dengan dapatan Merdeka Center dan Institut Darul Ehsan itu. Seawal Januari 2017, dalam kaji selidik yang terbesar pernah dibuat di negara ini mengenai kecenderongan mengundi, kami dapati undi Umno sudah pun jatuh ke tahap 40%. Itu memungkinkan senario pertandingan 3 penjuru yang berpihak kepada PH jika undi bukan Melayu kekal tinggi dan PH berjaya mendapatkan 30% sokongan Melayu. Setakat kaji selidik terkini iaitu Julai 2017, kaji selidik Invoke menyimpulkan undi Melayu PH adalah hampir sama dengan undi Melayu Umno iaitu sekitar 30+ %.
Pertembungan 2 set data berbeza yang masing-masing menyokong pendapat 1 pihak juga disebabkan oleh latar belakang setiap badan yang mengeluarkan dapatan tersebut.
Invoke ditubuhkan oleh saya. Maka dapatannya dituduh berat sebelah hanya untuk menyokong pandangan saya dan rakan-rakan. Kaedah dan sistem yang digunakan oleh Invoke menepati piawaian antarabangsa dan saya pastikan data dan dapatan dibuka kepada orang ramai agar jika benar ada manipulasi, ia boleh dibuktikan segera.
Institut Darul Ehsan adalah milik Kerajaan Selangor dan bergantung belanjawannya kepada ihsan Menteri Besar Selangor. Malah, kaji selidik IDE hanyalah melibatkan pengundi di Selangor (bukannya di seluruh Malaysia) dan sehingga kini, saya masih belum diyakinkan sama ada sampel yang dipilih adalah benar-benar rawak seperti kehendak sebuah kaji selidik.
Bagi Merdeka Center pula, saya tidak pernah melihat laporan kecenderongan pengundi seluruh negara yang terkini. Merdeka Center juga tidak pernah menyiarkan berapa orang yang ditelefon, berapa kadar jawab, bagaimana sampel itu dipilih untuk memastikan ia benar-benar rawak dan pelbagai soalan lain. Saya juga tahu pengurusan Merdeka Center juga diberi tanggungjawab menguruskan 1 projek bernama #teamSelangor di bawah Kerajaan Selangor yang dimaklumkan melibatkan peruntukan RM13 juta.
Bagi saya pula, sementara saya menerima pelbagai input dari Institut Darul Ehsan dan Merdeka Center, kaji selidik mereka yang dikemukakan untuk menyokong pendapat kumpulan yang mahu terus berunding dengan PAS ini tidaklah menggambarkan keadaan sebenar dan tidaklah sebebas yang didakwa kerana keterlibatan mereka secara rapat dengan pentadbiran Azmin.
Oleh sebab ini jugalah (dan peranan maklumat yang berbeza-beza dari kaji selidik seperti yang saya sebut di atas), perbezaan pendapat kami di peringkat pimpinan berpanjangan sejak 2015 dan menjadi lebih kuat dengan dapatan terkini yang dibentangkan oleh Redzuan dan Mohd Noor mengenai sokongan pengundi Cina yang tidak begitu terkesan dengan kerjasama PKR-PAS.
Usaha yang mustahil membuahkan hasil
Mengambil kira perkara-perkara ini, saya bimbang perkara ini akan terus berlanjutan dalam bulan-bulan terakhir sebelum PRU14 kerana ia mengheret sama PH dalam keadaan secara rasionalnya, sebarang rundingan di antara PKR-PAS yang tidak melibatkan PH adalah 1 usaha yang mustahil membuahkan hasil.
Saya menyebut begitu kerana PKR tidak boleh merundingkan bagi pihak Amanah dan PPBM dalam keadaan sebahagian besar tuntutan PAS itu melibatkan Amanah, PPBM (dan juga DAP). PAS berkehendakkan supaya kerusinya di Selangor dan seluruh negara tidak disentuh. Ini bermakna Amanah dan PPBM tidak ada kerusi untuk bertanding. Saya tidak yakin PKR dan DAP akan menyerahkan kerusi kepada Amanah dan PPBM semata-mata untuk memenuhi tuntutan PAS.
Oleh itu, dalam keadaan rundingan itu mustahil membuahkan apa-apa kerana PKR tidak ada kuasa dan mandat untuk memaksakan persetujuannya ke atas PH, rundingan pada saat ini hanya akan melengah-lengahkan rundingan kerusi di peringkat PH yang sedang berjalan.
Dengan kenyataan demi kenyataan PAS yang bukan sahaja menolak pelawaan kumpulan dari PKR yang mahu berkawan tetapi menghina PKR dari semasa ke semasa, strategi terus melayan karenah PAS dan menyakitkan hati rakan dari PH hanya akan menyebabkan kekalahan seberapa ramai calon PKR termasuklah dari kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan itu.
Ini kerana dalam proses cuba memujuk PAS itu, PKR akan dilihat tidak berprinsip dan mementingkan diri. Apabila rundingan itu gagal akhirnya (kerana ia mustahil dicapai seperti disebut di atas), PKR bukan sahaja tidak mendapat undi dari penyokong PAS, malah hilang undi bukan Melayu dan pengundi tegar PH yang marah dengan tindakan membelakangkan PH itu.
Itulah latar belakang kenapa tidak ada titik pertemuan atau kompromi di kalangan pimpinan PKR di peringkat Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat mengenai isu ini. Perbezaan pendapat ini telah berlanjutan terlalu lama dan kita tidak lagi boleh mengheret anggota biasa PKR dan rakyat keseluruhannya ke dalam kancah ini.
Perbezaan pendapat ini juga telah membahagikan parti ini kepada 2 kumpulan sejak kebelakangan ini sehinggakan mengelirukan akar umbi untuk meneka pandangan setiap pemimpin pusat. Oleh kerana ada di kalangan pemimpin pusat yang turut memegang jawatan kanan di peringkat PH, perbezaan pendapat ini ada kesan kepada persediaan PRU14.
Di satu pihak, yang bersetuju dengan Azmin untuk terus berunding dengan PAS termasuklah naib-naib presiden Tian Chua, Shamdul Iskandar, Xavier Jeyakumar dan Dr Shaharuddin. Pimpinan lain yang dikenali ramai yang bersetuju dengan pandangan ini ialah Zuraida Kamaruddin (ketua wanita), ahli-ahli Biro Politik iaitu Sivarasa, Datuk Saifuddin Abdullah (yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan), Datuk Kamaruddin Jaafar, Fahmi Fadzil (Pengarah Komunikasi) dan N Surendren. Ahli MPP pula termasuklah Elizabeth Wong, Hee Loy Sian, Siti Aaishah Sheikh Ismail, Dr Mohamad Nur Manuty, Latheefa, Afif Baharuddin dan Haniza Talha.
Di satu pihak yang tidak bersetuju dan mahukan komitmen penuh kepada PH, selain saya sendiri, termasuklah Saifuddin, Nik Nazmi, Tan Yew Kew, Syed Ibrahim, Johari, Sim Tze Tzin (pengarah strategi), Fariz Musa (ketua setiausaha pengelola), William Leong, Jeneral (B) Datuk Hadi (pengerusi Lembaga Disiplin) dan Christina Liew (pengerusi Sabah). Pimpinan lain yang berpendapat begini di peringkat MPP antaranya ialah Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Wong Chen, Rodziah Ismail, Fuziah Salleh, Manivanan, Gooi Hsiao Loong, Azan Ismail, Dr Idris Ahmad, Dr Azman Ismail, Hassan Karim dan Aminuddin Haron.

Pembahagian pimpinan mengikut pendapat masing-masing sebegini berlaku dari peringkat Biro Politik ke MPP hinggalah ke peringkat akar umbi.
Oleh yang demikian, sampai masanya ia diputuskan secara keseluruhan mengikut Perlembagaan parti supaya jalan buntu itu diselesaikan mengikut kaedah terbaik iaitu demokrasi.
Saya mengesyorkan supaya 1 kongres khas kebangsaan dipanggil dengan segera untuk memutuskan perkara ini dengan melibatkan pengundian perwakilan cabang-cabang PKR dari seluruh negara seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti. Setelah undian dibuat dan kedua-dua pihak ada peluang yang adil untuk membentangkan hujah masing-masing, saya yakin apa pun keputusannya keseluruhan anggota PKR dari atas hingga bawah bertanggungjawab memikul apa-apa kesan dari keputusan itu tanpa boleh menuding jari kepada 1 pihak lagi.
Hanya dengan keputusan yang dimuktamadkan mengikut kaedah kongres khas ini barulah kita boleh berlaku adil kepada rakyat Malaysia, rakan-rakan PH dan diri kita sendiri.
Rafizi Ramli adalah naib presiden PKR dan Ahli Parlimen Pandan
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.

No comments:

Post a Comment