0








PETALING JAYA: Individu yang menggelar dirinya sebagai `Raja Bomoh’, Datuk Mahaguru Ibrahim Mat Zin mendakwa ramalannya yang dibuat sebelum ini berhubung misteri kehilangan pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) adalah tepat.

Menerusi sebuah rakaman video, Ibrahim berkata, ritual yang pernah dibuat sebelum ini menunjukkan pesawat MAS itu telah tergantung di tiga buah negara dan berada di sebuah pulau yang tidak ketahui memang benar-benar menjadi kenyataan.

“Ramalan ini telah saya kata dahulu bahawasanya kapal terbang ini berada di sebuah pulau, di pulau mana tidak dapat kita ketahui tapi hari ini (ramalan) saya itu telah menjadi kenyataan” katanya yang dipetik daripada laman Facebook SuaraTV.

Ibrahim menyatakan kesemua serpihan yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai itu adalah sah milik MH370.







“Bila cerita pasal kapal terbang (objek) yang ditemui ini banyak orang bergurau senda (mengenai penemuan tersebut).

“Tapi perkara ini berdasarkan kaedah tradisional yang saya tengok (teropong) objek yang ditemui itu adalah betul dan milik pesawat MH370,″ katanya.

Pengamal perubatan tradisional itu turut menyelar tindakan sesetengah masyarakat yang mencemuh dan memperkecil-kecilkan usaha yang dilakukan olehnya sebelum ini.

“Kebanyakkan bila saya (buat ritual) dan keluar kenyataan dahulu, ada yang mencerca termasuk pejabat Mufti dan pejabat agama. (pelbagai gelaran diberikan) songsang, sesat, tak betul dan macam-macam lagi.

“Kita (masyarakat) hanya pandai mengata, pandai menghina tapi kita sebenarnya tidak tahu. Saya minta pada yang caci dan menghina saya dahulu, akan datang nanti jangan lagi tohmah saya dengan perkara yang tidak sihat” bidasnya.

Dia menjelaskan, amalan bomoh dan perubatan tradisional ini adalah merupakan kerja turun temurun keluarganya yang diwaris daripada moyangnya.

Menurut Ibrahim, dia akan mengadakan satu lagi ritual tidak lama lagi bagi membantu usaha mengesan saki baki objek pesawat tersebut.




Post a Comment

 
Top