0


Ketua Pemuda Umno Wilayah Datuk Razlan Rafii gagal memahami tujuan program “Nothing to Hide 2.0”, kata PPBM hari ini.

Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata program terus-terang itu dianjurkan orang ramai mendengar sendiri Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab persoalan mengenai tuduhan dan skandal mereka.
Tegasnya, medan itu terbuka untuk rakyat, termasuk ahli Umno dan penyokong Pakatan Harapan untuk menyoal 2 tokoh kontroversi itu.
“Mungkin Razlan tidak maklum program ini dianjurkan untuk rakyat, dan terbuka buat sesiapapun dalam rakyat untuk bertanyakan soalan kepada Tun Mahathir dan Najib.
“Jelas di sini tidak timbul isu untuk Tun Mahathir menjawab segala pertanyaan dalam kalangan rakan Pakatan Harapan itu sendiri mengenai skandal atau segala hal yang terpalit dengan Tun sepanjang 22 tahun pemerintahannya,” kata Syed Saddiq dalam kenyataan hari ini.
Syed Saddiq menambah “Nothing to Hide 2.0” bukan medan untuk mencipta persepsi kerana Najib dan Mahathir bakal menjawab segala pertanyaan yang diajukan dan mereka akan dinilai sepenuhnya dalam program terus-terang itu.
“Apa yang menjadi tanda-tanya adakah Najib nerani tampil membuat penjelasan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad, RM2.6 bilion derma dari Arab dan hal rasuah yang dikaitkan dengan beliau?” soal Syed Saddiq, yang menambah rakyat ingin mendengar dari mulut Najib sendiri.
Minggu lalu, Dr Mahathir mempelawa Najib ke forum yang bakal diadakan di Shah Alam pada 13 Ogos ini untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap mereka berdua.
Terdahulu Razlan menerusi sidang medianya meminta Pakatan Harapan menganjurkan program terus-terang “Nothing to Hide 2.0” dengan Dr Mahathir Mohamad menjawab tuduhan Mohamad Sabu dan Anwar Ibrahim sebelum mengundang Najib.
Beliau turut mencadangkan beberapa topik untuk dibincangkan di program itu, seperti dakwaan pemerintahan kuku besi, skandal dagangan mata wang asing era 90-an yang berlaku pada zaman petadbiran Dr Mahathir dan kekayaan ahli keluarganya.
“Selama ini yang tuduh dia (Dr Mahathir) ialah kawan-kawan dia sekarang seperti Mat Sabu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka yang tuduh Dr Mahathir perompak dan kuku besi. Umno tak pernah tuduh. Sekarang mereka angkat Dr Mahathir seperti dosa lama dilupakan dan dosa baru lain kira,”katanya Razlan.
FMT NEWS

Post a Comment

 
Top