0

Sebelum mengundang Datuk Seri Najib Razak, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan menyarankan Pakatan Harapan menganjurkan program terus-terang “Nothing to Hide 2.0” dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab tuduhan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Ketua Pemuda Datuk Razlan Rafii turut mencadangkan beberapa topik untuk dibincangkan di program itu, seperti dakwaan pemerintahan kuku besi, skandal dagangan mata wang asing era 90-an yang berlaku pada zaman petadbiran Dr Mahathir dan kekayaan ahli keluarganya.
“Selama ini yang tuduh dia (Dr Mahathir) ialah kawan-kawan dia sekarang seperti Mat Sabu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka yang tuduh Dr Mahathir perompak dan kuku besi. Umno tak pernah tuduh. Sekarang mereka angkat Dr Mahathir seperti dosa lama dilupakan dan dosa baru lain kira.
“Buat program ‘Nothing To Hide 2.0’ sendiri. Selepas itu baru boleh cerita,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Putra Dunia (PWTC) hari ini.

Razlan berkata demikian mengulas serahan undangan khas Pemuda PPBM kepada Najib ke program terus-terang itu semalam. Bagaimanapun kekecohan berlaku di Sunway Putra Mall apabila hampir 200 ahli Pemuda Umno cuba menghalang penyerahan itu.
“Kita mahu jaga maruah parti. Kita nak elak peristiwa Adam Adli tidak berlaku,” katanya, merujuk kepada peristiwa aktivis muda itu menurunkan bendera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di ibu pejabat Umno pada 2011, dalam satu tunjuk perasaan di Pusat Dagangan Dunia Putra.
“Kalau mereka buat provokasi kita kena jaga maruah,” tegas Razlan.
Beliau menafikan dakwaan Pemuda PPBM ditumbuk dan ditendang, dan menepis dakwaan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan pemuda Umno mengamalkan budaya “samseng”.
Sebaliknya, Pemuda Umno yang khuatir dengan budaya yang dibawa pembangkang.
“Misalnya Adam adli yang menurunkan bendera Umno dan beberapa kumpulan Bersih yang menunjukkan punggung di gambar muka Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.
Minggu lalu, Dr Mahathir mempelawa Najib ke forum yang bakal diadakan di Shah Alam pada 13 Ogos ini untuk menjawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap mereka berdua.
Walaupun Najib belum memberi maklum balas terhadap jemputan itu, pemimpin Umno bagaimanapun tampil bersuara bagi perdana menteri.
Forum “Nothing To Hide” julung kali dianjurkan pada 5 Jun 2015 di ibu pejabat Umno. Najib dijadualkan menghadiri forum itu dan menjawab pertanyaan umum, namun ia kemudiannya dibatalkan selepas Dr Mahathir hadir untuk berucap tanpa diundang.

Post a Comment

 
Top