PETALING JAYA: Nurul Izzah Anwar hari ini mengajak rakyat meneruskan gerakan reformasi bagi menyelamatkan Malaysia, pada ulang tahun ke-19 bapanya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, hakikat reformasi diterima pakai dalam agenda politik hari ini menjadikan pengorbanan bapa dan keluarganya berbaloi.
“Peristiwa tragis yang meninggalkan kesan dalam kehidupan kami dan ramai lagi pada 20 September 1998 itu, memberi banyak justifikasi terhadap keperluan untuk mengkaji penyalahguaan kuasa berlebihan eksekutif dan memastikan kedaulatan undang-undang diutamakan.
“Kesedaran ini mencetuskan kewujudan reformasi yang akhirnya mendapat sambutan dan makna yang dilihat melalui dasar dan janji dibuat Pakatan Harapan, termasuk pemain politik yang sebelum ini menafikan keperluan untuk pembaharuan politik di negara ini.
“Mereka yang sebelum ini mengecam keperluan mengkaji kuasa perdana menteri, memastikan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan peguam negara yang bebas, kebebasan media dan liputan media yang adil serta sebuah kerajaan yang berusaha menyatukan rakyatnya,” katanya kepada FMT.
Naib presiden PKR itu berkata, institusi demokrasi di negara ini yang akan memastikan rakyat terus menikmati manfaatnya dan menyediakan kompas moral berkesan untuk kepimpinan negara.
Pada 2 September 1998, Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu, dipecat daripada Kabinet diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad dan Umno pada keesokannya.
Ia disusuli penahanan Anwar di bawah ISA pada 20 September 1998 atas alasan mencetuskan rusuhan, tetapi polis tidak mendakwanya di mahkamah.
Dr Mahathir dilaporkan berkata, polis terpaksa menahan Anwar di rumahnya kerana beliau menghasut penyokongnya merusuh ketika berucap dalam perhimpunan haram di Masjid Negara.
Bekas ketua pembangkang itu kemudiannya didakwa atas pertuduhan rasuah dan liwat. Beliau disabitkan kesalahan sebelum sabitan liwatnya ditolak pada 2004, ketika pengganti Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi memimpin negara.
Selama hampir 2 dekad menjadi musuh ketat selepas pemecatan pada 1998, Dr Mahathir dan Anwar berdamai tahun lalu dan bersetuju bekerjasama untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kini, Anwar ialah ketua umum Pakatan Harapan, manakala Dr Mahathir pula dilantik sebagai pengerusi gabungan 4 parti pembangkang itu.
Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur petang semalam, akibat “tekanan darah tinggi tidak menentu”.
Post a Comment