SHAH ALAM: Pengerusi Umno Selangor Tan Sri Noh Omar hari ini mengingatkan kerajaan tidak pernah melarang komuniti bukan Islam menikmati minuman keras, dan mempertikaikan keperluan menganjurkan pesta arak.
“Dulu kita tak dengar ada pesta arak dan minuman keras tidak pernah jadi kesalahan,” kata Noh kepada pemberita ketika lawatannya di Rumah Pangsa Subang Perdana 3, di sini, hari ini.
Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata kerajaan juga tiada masalah dengan acara orang bukan Islam yang menghidangkan arak.
“Saya pernah hadir dalam satu majlis di Pandamaran yang dihadiri lebih 10,000 orang. Mereka edar minuman keras. Tiada kesalahan kerana di situ majoritinya bukan Melayu.
“(Tetapi) Kenapa nak dijadikan pesta? Adakah kita nak eksport arak sampai nak buat promosi? Kalau ya pun janganlah sampai tergadai semata-mata politik,” kata Noh, menjawab kontroversi pembatalan acara Festival “Better Beer” 2017 baru-baru ini.
Kenyataan tersebut menyusuli muka depan Utusan Malaysia hari ini, yang membawa tajuk “Azmin benar pesta arak”, dengan laporan penuh di muka 4 akhbar itu pula membawa tajuk “Azmin tidak kisah pesta arak di Selangor”.
Laporan muka 4 itu mendakwa pentadbirannya tidak akan menghalang jika pesta arak Festival “Better Beer” 2017 mahu diadakan di Selangor selepas pesta itu tidak dibenarkan diadakan di Kuala Lumpur.
Pejabat Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia, dan mendesak akhbar itu menarik kembali laporan tersebut, membuat permohonan maaf secara terbuka serta ganti rugi.
Pada 18 September lalu, wakil rakyat DAP dan PKR berkata tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit penganjur sebagai tidak bertimbang rasa dan mengabaikan semangat muhibah, serta menggesa pihak berkuasa mengkaji semula keputusan itu.
Pembatalan itu menyusuli bantahan PAS yang menggelarkan pesta itu “festival maksiat”, sambil mendakwa acara seperti itu akan menjadikan Kuala Lumpur terkenal sebagai pusat maksiat di Asia.
Penganjur, MyBeer Malaysia, sebelum ini berkata mereka diberitahu pihak berkuasa pesta bir itu “sensitif dari segi politik”.-fmt news-
Post a Comment