0

Ketika kempen pilihan raya umum 1986, saya mengikuti rombongan pengerusi Barisan Nasional (BN), Tun Dr Mahathir Mohamad ke Kuching untuk membuat liputan.

Di sana, beliau bertemu pemimpin BN Sarawak diketuai Tun Abdul Taib Mahmud, ketua menteri ketika itu.
Pemimpin parti komponen ketika itu, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) dan Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) turut hadir. Pada masa itu, Yang di-Pertuan Negeri ialah Tun Abdul Rahman Yakub.
Dalam pilihan raya itu, BN menang besar dan parti pembangkang Sarawak iaitu DAP hanya menang satu kerusi parlimen di negeri itu. Ketika itu, DAP dipimpin setiausaha agungnya, Lim Kit Siang.
Tiga puluh tahun kemudian, pada 2016, Dr Mahathir menjadi pembangkang dengan menubuhkan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), parti yang fahaman politiknya tidak berbeza daripada PBB. Kedua-duanya seperti juga Umno mempunyai perkataan “bersatu”. Ketika mana PBB menggunakan perkataan “bumiputera”, PPBM pula mengambil perkataan “pribumi”, yang sama maksudnya.
Kini pengerusi BN Sarawak ialah Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg. Taib pula menjadi Yang di-Pertua Negeri. Sementara Dr Mahathir adalah pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Kit Siang juga merupakan pemimpin penting gabungan itu.
Pengerusi PH Sarawak ialah Chong Chieng Jen yang juga merupakan pengerusi DAP negeri. Beliau juga menganggotai Majlis Presiden PH sebagai salah seorang daripada 6 naib presidennya.
Sejak 2013, PH memegang 6 kerusi Parlimen, DAP 5 dan PKR 1. Terdapat 31 kerusi Parlimen di Sarawak menyebabkan negeri itu, bersama Sabah yang mempunyai 25 kerusi boleh menjadi penentu kepada siapa yang akan berada di Putrajaya.
Semenanjung Malaysia memegang kerusi paling banyak iaitu 166 kerusi.
Kerajaan Sarawak membenarkan Dr Mahathir, Kit Siang dan Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr Hatta Ramli masuk untuk menyampaikan ceramah pada Ahad lalu walaupun sehari sebelum itu, Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dan seorang ahli Parlimen PKR, Hee Loy Sean dilarang masuk.
Akibatnya, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar membatalkan kunjungan beliau ke negeri itu.
Walaupun Abang Johari berkata pemimpin PH dibenarkan masuk kerana mereka bukannya ekstremis, tetapi ternyata ucapan Dr Mahathir dalam ceramahnya itu berhubung hak wilayah mencerminkan sentimen umum rakyat Sarawak yang juga sedang diperjuangkan oleh kerajaan negeri itu.
Ucapan pertama Dr Mahathir di Sarawak selaku pengerusi PH menampilkan slogan “Tawaran Baharu, Harapan Baharu”. Majlis itu mendapat sambutan dengan kehadiran dilaporkan kira-kira 2,000 orang. Walaupun ia diadakan di kawasan kubu DAP iaitu Taman BDC di kawasan Parlimen Stampin, tetapi mesej Dr Mahathir pasti tersebar ke seluruh Sarawak dan Sabah khususnya di kalangan pemimpin kerajaan negeri di Kuching dan Kota Kinabalu. Ia juga boleh memberi tekanan kepada Putrajaya dalam hubungannya dengan kedua negeri itu.
Dr Mahathir berjanji jika PH menang, mereka akan melihat kembali Perjanjian Malaysia 1963 dan berunding semula antara Malaya, Sarawak dan Sabah bagi mendapatkan terma yang adil bagi ketiga-tiga wilayah itu.
Beliau menyatakan bahawa kerajaan persekutuan meminda persetujuan beberapa butiran dengan tidak menepati Perjanjian Malaysia 1963 melalui saluran parlimen di mana kerusi kawasan dari Semenanjung Malaysia lebih banyak daripada Sarawak dan Sabah.
Menurut Dr Mahathir, ia dilakukan tanpa rundingan dengan Sarawak dan Sabah walaupun ia dibahaskan dan diluluskan oleh Parlimen.
Adalah dipercayai beliau merujuk kepada Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Pembangunan Petroleum 1974. Akta 1966 itu mengurangkan sempadan laut daripada 19.3 km kepada 4.8 km. Selebihnya adalah hak persekutuan.
Sementara akta 1974 meletakkan hak cari gali dan melombong minyak kepada Petronas walaupun dalam Perjanjian Malaysia 1963, hak perlombongan adalah milik wilayah Sarawak dan Sabah.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menyatakan bahawa perubahan itu berlaku sebelum beliau menjadi perdana menteri. Pada Julai 1966, ketika Akta Pelantar Benua itu diluluskan, perdana menteri adalah Tunku Abdul Rahman.
Dr Mahathir pula adalah ahli Parlimen dari Kota Setar Selatan. Ketua menteri Sarawak ketika itu ialah Datuk Seri Tawi Sli dari Parti Pesaka Anak Sarawak. Parti itu adalah anggota Perikatan Sabah yang bersekutu dengan Perikatan pimpinan Tunku.

Parti Pesaka kemudian bergabung dengan Parti Bumiputera Sarawak untuk menjadi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. Yang di-Pertua Sarawak ketika itu ialah Tun Abang Openg Abang Sapiee, dan ketua menteri Sabah ketika itu ialah Peter Lo dari Persatuan Cina Sabah (SCA) yang menganggotai Perikatan Sabah, juga bersekutu dengan Perikatan pimpinan Tunku. Yang di-Pertua Negeri Sabah ketika itu ialah Tun Pengiran Ahmad Raffae.
Pada Julai 1974 pula, ketika Akta Pembangunan Petroleum diluluskan, seperti yang disebut oleh Dr Mahathir, perdana menteri ialah Tun Razak Hussein. Namun begitu, Dr Mahathir adalah ahli Dewan Negara mewakili Kedah. Beliau hanya menjadi anggota Kabinet pada September 1974 sebagai menteri pelajaran.
Ketika itu, ketua menteri Sarawak ialah Tun Abdul Rahman Yakub dari PBB sementara Yang di-Pertua ialah masih Abang Openg. Sementara ketua menteri Sabah ialah Tun Mustapha Harun dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang seperti PBB adalah parti komponen BN pimpinan Tun Razak. Yang di-Pertua Negeri Sabah ketika itu ialah masih Pengiran Ahmad Raffae.
Perlu diingat juga Tunku dan Tun Razak aktif menangani pergolakan politik Sarawak yang tidak stabil sejak ia menyertai Malaysia sehinggalah apabila Abdul Rahman Yakub menjadi ketua menteri. Sementara pergolakan politik di Sabah juga berlarutan sehinggalah Dr Mahathir menjadi perdana menteri dan menetapkan sistem penggiliran ketua menteri menurut kaum melalui pemimpin parti komponen BN Sabah.
Namun bagi Ketua Penerangan PH Sarawak, Vernon Kedit dari PKR, penurunan terbesar hak ialah apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan dibuat pada 12 Julai 1976. Menurutnya, pindaan itu menurunkan kedudukan Sarawak pada taraf seperti negeri di Semenanjung Malaysia sedangkan menurut Perjanjian Malaysia 1963, ia merupakan wilayah setaraf dengan Malaya, Sabah dan Singapura.
Pada masa itu, perdana menteri ialah Tun Hussein Onn. Timbalannya ialah Dr Mahathir. Ketua menteri ialah Abdul Rahman Yakub dan Yang di-Pertua Negeri ialah Abang Openg.
Dalam ceramahnya juga, Dr Mahathir berkata Sarawak dan Sabah wajar menentukan sistem pendidikan mereka sendiri seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Terdapat tuntutan di sana supaya dijadikan Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah.
Namun begitu tidak dinyatakan sama ada janji-janji ini dibincang dan disepakati oleh Majlis Presiden PH.
Kesedaran untuk menuntut hak wilayah di Sarawak dan Sabah juga boleh dilihat berpunca daripada semakin bertambah golongan berpendidikan di sana, yang memperoleh manfaat daripada sistem pendidikan persekutuan. Selain daripada Dr Mahathir yang pernah menjadi menteri pelajaran, tokoh politik Sarawak yang menyandang jawatan itu ialah Abdul Rahman Yakub dan Tan Sri Dr Sulaiman Daud, kedua-duanya dari PBB.
Dipermudahkan dengan adanya Internet, kesedaran hak wilayah itu kelihatan tampil apabila BN kehilangan majoriti 2/3 dalam pilihan raya umum 2008. Ini menjadikan undi Sarawak dan Sabah adalah penting bagi BN.
Pilihan raya negeri 2011 menjadi cabaran besar bagi BN Sarawak apabila Pakatan Rakyat Sarawak khususnya DAP dan PKR memainkan isu hak wilayah. Ini membawa kepada penampilan baharu BN Sarawak dalam pilihan raya negeri 2016. Ekoran itu, kerajaan negeri Sarawak menegaskan pendiriannya dalam soal hak wilayah hingga membawa kepada rundingan berterusan Putrajaya-Kuching.
Tetapi dalam soal hak, apa yang berlaku bukan semata-mata mengenai Semenanjung Malaysia mengambil manfaat daripada Sarawak dan Sabah. Cuba lihat golongan elit politik mana di Kuching dan Kota Kinabalu yang memperoleh manfaat, berbanding rakyat biasa terutamanya di pedalaman yang tidak mempunyai akses kuasa.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia
* Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Post a Comment

 
Top