KLANG: Penganjur Festival F&B Jerman Centro Mall belum memohon permit polis, kata Ketua Polis Klang Utara ACP Mazelan Paijan.
Di tengah-tengah liputan mengenai Majlis Perbandaran Klang (MPK) membenarkan acara itu, Mazelan berkata MPK menambah syarat penganjur perlu mendapatkan permit polis untuk menganjurkan acara tersebut.
“Sebaik sahaja polis terima permohonan permit, kami akan mendapatkan nasihat daripada ibu pejabat polis Selangor dan Cawangan Khas Bukit Aman sebelum membuat keputusan,” katanya kepada FMT.
Semalam, Sin Chew Daily melaporkan MPK memberi kebenaran untuk Festival F&B Jerman Centro Mall tetapi melarang penggunaan perkataan “Oktoberfest” dan penyertaan orang Islam.
Lampu hijau itu diberi kerana festival itu merupakan acara persendirian yang diiadakan di tempat persendirian.
Terdahulu, PAS Selangor bertemu Mazelan untuk menyerahkan memorandum membantah penganjuran acara itu di Centro Mall.
Di luar perkarangan balai polis, Ketua Pemuda PAS Selangor Syarhan Humaizi Abdul Halim yang mengetuai kumpulan itu berkata PAS membantah sebarang pesta arak, walau apapun nama acara itu.
“Saya harap MPK akan mengkaji balik keputusannya dan mengambil kira pandangan polis dalam perkara itu.
“Kita harap festival itu tidak akan diadakan di sini atau di mana sahaja di negara ini,” katanya, dan menambah penganjur perlu mengambil kira sensitiviti mereka yang “tidak selesa” dengan acara itu.
Syarhan berkata tidak kira sama ada acara itu diadakan di tempat persendirian kerana kebimbangan utama ialah keselamatan awam, seperti yang disebut pihak berkuasa semasa menolak penganjuran acara Festival “Better Beer” 2017 di Kuala Lumpur.
Festival F&B Jerman Centro Mall dirancang diadakan pada 12 & 13 Oktober dari 5.00pm hingga 11pm.
Difahamkan pusat beli belah itu pernah menganjurkan acara seperti itu pada tahun-tahun sebelum ini tanpa sebarang masalah.
Kunjungan ke pusat beli belah itu menemui paparan kecil mempromosikan acara itu, namun dalam risalah acara itu digelar “Oktoberfest”.
Centro Mall enggan mengulas.
Festival “Better Beer” 2017 dijadualkan diadakan pada 6 & 7 Oktober di Galeri Beli Belah Publika di ibu negara.
Namun DBKL menolak permohonan penganjur walaupun acara itu pernah diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Fuzi Harun dalam satu kenyataan berkata acara itu dibatalkan atas sebab keselamatan.
“Terdapat maklumat yang mendedahkan wujud perancangan oleh pihak militan yang akan melakukan sabotaj ke atas festival berkenaan, kerana menganggapnya sebagai sesuatu yang bertentangan dengan perjuangan mereka,” katanya.
Penganjur, MyBeer Malaysia, sebelum itu berkata pihak berkuasa memaklumkan pesta bir itu “sensitif dari segi politik”.
Pembatalan itu menyusuli bantahan daripada PAS, di mana Ahli Jawatankuasa Pusatnya, Riduan Mohd Nor melabelkan acara itu sebagai “pesta maksiat” yang boleh menyebabkan Kuala Lumpur dikenali dunia sebagai pusat maksiat terbesar di Asia.
Post a Comment