0




KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos dan Baju Merah menjadi bahan lawak pimpinan pembangkang di tunjuk perasaan Bersih 5 hari ini.
Pembangkang mempersendakan Baju Merah kerana semua ancaman yang mereka buat sebelum ini tidak dilakukan.
Malah, mereka perasan jumlah peserta Baju Merah sangat kecil berbanding Bersih.
“Mana Jamal sekarang? Mana Baju Merah? Mereka semua lari,” kata Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin kepada belas ribu yang hadir di himpunan Bersih 5 di KLCC, petang tadi.




Beliau kemudian mengajak peserta perhimpunan supaya “boo” Jamal dan Baju Merah, dan disambut dengan ejekan yang kuat.
Zuraida mengingatkan hadirin kepada kejadian di kawasan Parlimen Ampang, apabila Jamal cuba menghalang wakil rakyat PKR dan pasukannya daripada mempromosikan himpunan Bersih.
Jamal ditumbuk dalam kejadian itu.
“Rakyat Malaysia yang hadir hari ini berasa gembira apabila mendengar berita Jamal ditumbuk.
“Itu kali pertama kerana sebelum ini dia boleh pergi sana sini berbuat apa sahaja yang dia suka.
“Tetapi bila dia turun Ampang, kami ajar dia. Kalau dia turun hari ini, kami akan ajar dia.
“Jamal cuma konco Malaysian Official 1.”
Puluhan ribu orang hadir ke tunjuk perasaan yang mendesak, antara lain, peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Baju Merah turut mengadakan himpunan balas tetapi kehadirannya cuma sekitar 3,000 orang sahaja.
Jamal tidak hadir kerana dia berada dalam tahanan polis untuk disiasat berhubung kejadian di pusat beli-belah Ampang Point Ahad lepas.

source from -FMT-



Post a Comment

 
Top