Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk A Kadir Jasin mempersoal sama ada tindakan Bank Negara menerbitkan bon bernilai RM2.5 bilion ketika 1MDB tidak ada wang untuk membayar hutang kepada firma Abu Dhabi adalah kebetulan atau sebaliknya.
"Hutang tertangguh 1MDB RM2.56 bilion. Bon Bank Negara RM2.5 bilion. Kebetulan atau memang dirancang? Tempoh tutup bon Bank Negara 4 Ogos.
"Tempoh akhir 1MDB kena bayar adalah lima hari kerja bermula 1 Ogos (lebih kurang pada 6 Ogos). Kalau tak bayar juga, denda dan tindakan lain akan dikenakan," katanya dalam blognya kelmarin.
1MDB dilaporkan lewat membayar kira-kira RM2.56 bilion kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) Isnin lalu.
1MDB mengatakan bahawa wang untuk membayar hutang itu adalah menerusi program rasionalisasinya, tapi terlewat disebabkan peraturan dan kelulusan, manakala Perdana Menteri mengatakan kelewatan itu adalah masalah teknikal yang tidak menjejaskan ekonomi.
“Adakah teknikal yang Najib maksudkan itu Bank Negara memerlukan masa untuk jual RM2.5 bilion bon dan serah duit itu kepada Kementerian Kewangan supaya Kementerian Kewangan boleh bagi kepada 1MDB untuk bayar kepada IPIC? Tak ramai orang percaya alasan rasionalisasi atau apa-apa pun hikayat daripada 1MDB,” kata bekas Ketua Pengarang New Straits Times itu.
Walaupun mengakui bahawa penjualan bon oleh Bank Negara dan pembelian bon oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP); Permodalan Nasional Berhad (PNB) atau bank lain sebagai perkara biasa namun beliau tetap mempertikai hutang yang dicipta 1MDB.
“Tapi kalau bon RM2.5 bilion itu adalah untuk bayar hutang 1MDB, ia bukan perkara biasa malah boleh dianggap kecuaian jenayah (criminal negligence) dalam pengurusan kewangan negara," katanya.
Sementara menulis dalam Sinar Harian hari ini, beliau berkata, masalah 1MDB adalah berniaga dengan hutang yang besar tetapi tidak menjana hasil untuk bayaran balik, dan berlaku penyelewengan luar biasa di dalam dan luar negara.
A Kadir berkata, sebagaimana dimaklumkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, hutang 1MDB telah meningkat melebihi RM50 bilion pada awal 2016.
“Kita pun sudah dengar macam mana 1MDB telah jual atau gadai harta yang didapatinya dengan harga murah daripada kerajaan macam tanah Tun Razak Exchange (TRX) di Jalan Tun Razak dan bekas Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) di Sungai Besi.
“Tapi duit yang ia dapat tak cukup juga untuk bayar balik hutang hingga kerajaan, melalui Kementerian Kewangan, terpaksa ambil alih atau bagi jaminan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak akan tahu dari mana 1MDB akan memperoleh wang untuk membayar balik hutang yang banyak, kerana semua urusan berkaitan syarikat itu adalah rahsia, sehingga Dewan Rakyat juga tidak boleh membahasnya.
“Cuma, seperti saya katakan berulang kali, kita harap duit negara dan rakyat jelata tidak lagi diambil secara sah atau haram untuk kambus hutang 1MDB. Secara kebetulan pula, Bank Negara baru saja menjual bon 20 tahun bernilai RM2.5 bilion iaitu hampir bersamaan dengan hutang 1MDB itu,” katanya.
-malaysiadateline.com
Post a Comment