0

PUTRAJAYA: Seorang peniaga mata wang asing berkata pengurusan Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mengarahkan beliau melakukan transaksi mencecah AS$800 juta (RM2.5 bilion) sehari.
Fizaman Noor Mohamed Nasir berkata transaksi pada jumlah sebegitu besar hanya boleh dilakukan atas arahan pengarah jabatan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
“Seingat saya, nilai urusniaga tertinggi ‘management position’ yang pernah saya lakukan dalam satu hari mencecah nilai AS$800 juta. Arahan itu hanya boleh diberikan pihak pengurusan.
“Setiap transaksi pelaburan dilakukan akan mendapat arahan dari Nor Mohamed, bukan memandai-mandai,” katanya kepada panel Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk menyiasat kerugian yang ditanggung BNM akibat dagangan mata wang asing pada 1990-an.
Saksi ke-6 itu menjelaskan beliau sebagai peniaga mata wang asing hanya dibenarkan melakukan transaksi tidak melebihi AS$30 juta.
“Saya sebagai ‘dealer position’ tidak pernah lakukan urusniaga mata wang asing melebihi maksimum yang dibenarkan kepada saya, sebagai ditetapkan.
“Dalam kedudukan sebagai ‘dealer’, keputusan sama ada hendak berurusniaga ataupun tidak dibuat oleh ‘dealer’ sendiri, setelah lakukan pertimbangan kepada analisis. Jumlah transaksi adalah mengikut had ditetapkan.

“‘Management position’ pula melibatkan jumlah besar. Arahan secara terus dari Nor Mohamed. ‘Dealer’ akan berikan pandangan pasaran kepada Nor Mohamed sekiranya diminta, namun keputusan dibuat Nor Mohamed sendiri,” katanya.
Sebelum itu, penyelaras siasatan Suhaimi Ibrahim bertanyakan kepada Fizaman apakah beliau menyedari pelaburan dilakukan itu tidak memberi keuntungan, dan adakah beliau pernah menasihati Nor Mohamed.
“Bagi tahun 80-an sehingga 1994, saya berpendapat BNM tidak mendapat keuntungan dalam urusniaga forex yang dijalankan, Bagi kedudukan ‘dealer’ yang saya jalankan, memang ada untung tetapi dalam nilai kecil.
“Kami cuba nasihati Nor Mohamed berdasarkan naluri ekonomi dan bagaimana sesuatu perkara itu boleh dipertingkatkan.
“Tetapi, apa yang diputuskan selepas itu bukan keputusan kami. Walaupun suasana ekonomi negatif, keputusan tertinggi adalah dari Nor Mohamed,” katanya.
Fizaman berkhidmat sebagai peniaga mata wang asing di BNM bermula 1989 hingga 1998.
RCI ditubuhkan khas untuk menyiasat skandal yang berlaku pada 1990-an di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan menteri kewangan ketika itu.
Siasatan RCI itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia K Pushpanathan; dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail.

Post a Comment

 
Top