Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM4 bilion menjelang akhir tahun ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan peningkatan kutipan setiap tahun yang diperoleh PTPTN hingga mampu mengutip RM3.4 bilion tahun lepas walaupun sasaran asal hanya RM2 billion.
"Peningkatan ini disebabkan penambahbaikan dan pendekatan 'boleh bincang' PTPTN yang dilaksanakan sejak Mac lepas sehingga kita dapati 284,210 peminjam yang pernah disenarai hitam telah membayar balik keseluruhan pinjaman," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Idris berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) mengenai usaha kementerian menangani isu peminjam PTPTN.
Selain itu, Idris berkata PTPTN juga telah menaik taraf sistem pinjaman dengan membenarkan pelajar membuat penggabungan hutang pinjaman yang diambil ketika diploma dan ijazah sarjana muda serta hanya perlu membayar selepas enam bulan mereka menamatkan ijazah.
"Ini bermakna jika pinjaman diploma mereka adalah RM15,000 dan ijazah pula RM21,000, jadi keseluruhan pinjaman berjumlah RM36,000 dan kedua-dua pinjaman digabungkan untuk jadi satu pinjaman.
"Oleh demikian mereka tidak ada lagi masalah dengan institusi kewangan dan Jabatan Imigresen atau dikenakan tindakan undang-undang," katanya.
Bagi mengurangkan kebergantungan kepada PTPTN dan keberhutangan rakyat, Idris berkata PTPTN menggalakkan ibu bapa menabung untuk anak masing-masing melalui sistem Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang mempunyai keistimewaan termasuk dividen lebih tinggi, pelepasan cukai dan perlindungan takaful.
Sehingga 31 Julai lepas, lebih tiga juta akaun tabungan SSPN-i telah dibuka dengan deposit berjumlah RM2.8 billion.
Post a Comment