0

Sebanyak 14 syarikat pelancongan dan pengendali umrah serta ziarah dibatalkan lesen kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) sejak 2009 hingga tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata daripada jumlah itu, 11 syarikat dibatalkan lesen dan satu syarikat ditarik lesen bidang pelancongan luar negara (outbound) setelah didapati melakukan penipuan manakala dua lagi sedang dalam peringkat rayuan.
"Kementerian memang serius dalam memerangi aktiviti penipuan pakej umrah dan ziarah yang mana selain pembatalan lesen, kita juga menarik balik lesen bidang tertentu dan menyenaraihitamkan agensi yang terlibat.
"Bagi tahun ini, notis pembatalan lesen telah dikeluarkan kepada dua buah syarikat yang turut melakukan kesalahan di bawah akta itu dan kita sedang menyiasat beberapa lagi syarikat yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah yang bakal berhadapan tindakan sama jika sabit kesalahan,\" katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai tindakan yang diambil kementerian itu terhadap syarikat yang melakukan penipuan pakej umrah.
Mas Ermieyati berkata antara syarikat yang telah dibatalkan lesen termasuk Warith NY Travel & Tours, Madain Al-Taqwa Travel & Tours Sdn Bhd, Permata El-Nur Travel & Tours manakala Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn Bhd ditarik lesen outbound.
Katanya selain daripada tindakan pembatalan lesen, kementerian juga tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan lesen baharu oleh mana-mana individu dan syarikat yang telah disenaraihitamkan atas kesalahan di bawah akta tersebut.
"Kita juga bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar mereka yang telah dikenal pasti ini turut dihalang daripada menubuhkan syarikat baharu berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain bagi menjalankan aktiviti berkaitan pelancongan.
"Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan menghalang laman sesawang milik syarikat dan individu tidak berlesen yang mengiklankan pakej umrah dan ziarah," katanya.
Selain itu, Mas Ermieyati berkata mana-mana syarikat yang menjalankan penipuan umrah juga akan diambil tindakan di bawah agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
"Ada antara syarikat yang didapati melakukan penipuan umrah dikenakan tindakan oleh PDRM melibatkan jenayah komersil dan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan," katanya.


Post a Comment

 
Top