0

BANGI: Datin Seri Rosmah Mansor mahu lebih ramai sarjana Islam yang pakar dalam pelbagai bidang dilahirkan di bawah Program Permata Insan agar dapat mengangkat martabat Islam di negara ini.
Isteri perdana menteri berkongsi impian dan visinya itu bersama kira-kira 420 pelajar Program Kolej Permata Pintar, Kolej Permata Insan dan keluarga masing-masing pada “Program Bual Santai: Kenali Anak Pintar Anda di Pusat Permata Pintar Negara”, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.
Sesi dikendalikan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara UKM Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak dan bertujuan mendedahkan ibu bapa dan penjaga anak Permata Pintar akan kelebihan belajar di Kolej Permata Pintar dan Kolej Permata Insan dari segi pendidikan dan peluang melanjutkan pengajian tinggi di dalam dan di luar negara.
Rosmah, yang juga penaung Permata, berkata langkah itu amat perlu kerana Malaysia kekurangan sarjana Islam yang turut disebabkan ramai antara mereka berhijrah ke negara luar.
“Saya kerap kali mengadakan perbincangan dengan profesor-profesor di Permata Pintar dan Permata Insan di Universiti Sains Islam Malaysia di Nilai, bagaimana kita boleh melahirkan bakal ilmuan pemikir Islam yang agung berteraskan al-Quran dan al-Sunah dari awal usia. Kita bukan hanya mahu melahirkan pelajar menjadi imam atau bilal, tetapi ia lebih daripada itu.
“Walaupun ada subjek-subjek berkaitan al-Quran diajar kepada para pelajar, tetapi para pelajar yang berkebolehan tinggi atau pintar memahami juga mesti mempunyai keseimbangan dalam menghubungkaitkan mata pelajaran lain dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.


Katanya beliau tahu pelajar di Permata Insan di USIM mempunyai kebolehan tinggi atau pintar memahami, mentafsir dan menghafaz al-Quran serta mampu membangunkan tradisi keilmuan Islam dan mencetuskan kemajuan ilmu pengetahuan serta teknologi melalui kesepaduan ilmu aqli dan naqli.
Rosmah berkata Permata Negara dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) Universiti Oxford sedang mengadakan perbincangan untuk meneroka peluang bagi mewujudkan kerjasama untuk melahirkan pelajar pintar yang mampu mencapai taraf cendekiawan.
“Saya pergi London bukan untuk jalan-jalan tetapi mengadakan perbincangan bagaimana kita boleh membuka peluang dan bekerjasama dengan OCIS bagi perkembangan modal insan para pelajar di Permata Insan. Kita mahu lihat teknologi yang digunakan oleh OCIS dalam mewujudkan makmal-makmal di semua Permata di negara,” katanya.
Ketika ditanya oleh Muhammad Amir Rafiq Mohd Rafee Harith, pelajar Permata Pintar yang berumur 13 tahun, mengenai impian Rosmah terhadap Permata dalam tempoh 20 tahun, isteri perdana menteri berkata: “Impian saya besar. Menerusi kerjasama rakan-rakan, profesor dan pegawai, saya mahu realisasikan impian saya untuk melihat kalian semua menjadi doktor atau saintis atau artis bertaraf dunia.”
“Inilah impian saya. Saya mahu kalian semua bekerja keras. Saya mahu kamu Amir, bekerja keras dan berfikir bagaimana mahu menjadi golongan profesional bertaraf dunia. Timba sebanyak mungkin pengalaman, dapatkan lebih banyak peluang pekerjaan. Belajar daripada yang lain seperti bagaimana Jack Ma membawa banyak peluang pekerjaan ke Malaysia.
“Jika dunia ada Jack Ma, suatu hari kita akan ada Amir Ma,” katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.
Kepada satu lagi soalan, Rosmah berharap Pusat Permata Penjagaan Kanak-Kanak akan diwujudkan di tempat kerja bagi membantu ibu bapa yang bekerja menghantar anak-anak mereka dan dijaga oleh penjaga bertauliah.
“Saya berasa sedih apabila membaca berita mengenai ada bayi dan kanak-kanak meninggal dunia di pusat penjagaan swasta kerana tersedak susu. Saya berharap cadangan saya itu akan diterima nanti,” katanya.
Pada masa ini Permata Pintar mempunyai 387 pelajar manakala Permata Insan pula 185 pelajar.-FMT NEWS

Post a Comment

 
Top