PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata Umno Johor akan terkesan jika individu Umno yang menjadi sasaran teguran Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak memohon maaf diatas perbuatan mereka.
Prof Madya Awang Azman Awang Pawi di Universiti Malaya berkata parti Umno mesti berlapang dada dan tidak menganggap teguran sebagai cubaan menjatuhkan pemimpin Umno tertentu, kerana pandangan TMJ “mengatasi kepentingan politik”.
“Ia lebih bersifat teguran kepada sesetengah pemimpin politik Umno yang cepat melatah,” kata Awang Azman ketika dihubungi FMT.
“Sekiranya pihak dimaksudkan oleh TMJ tidak memberikan perhatian serius dalam apa yang diperkatakan TMJ, dan tidak memohon maaf, ia bukan sahaja boleh memberikan kesan kepada sukan negara, malah kepada pihak Umno Johor, lebih-lebih lagi nama disebut oleh TMJ.”
Awang Azman menambah isu ini sekiranya diperbesar-besarkan pasti tidak baik untuk Umno dan perkembangan sukan negara.
TMJ hari ini membidas Pemuda Umno kerana menggunakan “cybertroopers” untuk mempersoalkan ketiadaannya sewaktu 2 perlawanan bola sepak Kumpulan A Sukan SEA baru-baru ini yang menyaksikan kemenangan Malaysia menewaskan Brunei dan Singapura.
“Kepada Encik Ibdillah, tidak perlulah sibuk-sibuk dengan ‘cybertroopers’ awak untuk menghentam-hentam saya dan menjulang ‘bos’ awak,” tulis TMJ di Facebook hari ini, dipercayai merujuk kepada Ibdillah Ishak, ahli exco Pemuda Umno yang mempengerusikan Biro Media Sosial sayap itu.
TMJ yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini pernah mengkritik Menteri Kebudayaan dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana tidak menghadiri perlawanan akhir Piala FA di Shah Alam, Mei lepas.
Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno, baru-baru ini turut menjadi sasaran TMJ yang menyindir kebolehannya dalam skuad polo negara Sukan SEA.
Khairy, yang juga ketua Pemuda Umno, baru-baru ini turut menjadi sasaran TMJ yang menyindir kebolehannya dalam skuad polo negara Sukan SEA.
“Tiada sesiapa yang nak jatuhkan ‘bos’ awak,” kata TMJ kepada Ibdillah dalam catatannya hari ini. “Awak perlu ingat sokongan terbesar parti politik awak datangnya dari negeri Johor.”
Awang Azman bagaimanapun berkata teguran TMJ itu tidak perlu disalahtafsir sebagai ketidakselesaan pihak TMJ dengan Umno.
Ini kerana pihak Istana Johor juga pernah menegur pemimpin politik lain, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Ini bermakna pihak istana Johor cuba bersifat neutral dan objektif,” kata Awang Azman.
“Suara TMJ mewakili suara majoriti rakyat namun mereka hanya mendiamkan diri kerana bimbang dianggap cuba bermusuh dengan parti politik tertentu.”
Post a Comment