0

PETALING JAYA: Perkasa enggan terima kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad malam semalam berdasarkan lahiriah kenyataan itu, yang mengatakan beliau tidak percaya kepada konsep “Ketuanan Melayu”.
NGO hak Melayu itu juga menyoal konteks sebenar kenyataan itu.
Timbalan Presiden Perkasa Datuk Sirajuddin Salleh berkata beliau tidak tahu konteks sebenar kenyataan itu ketika pengerusi PPBM itu berucap kepada 1,000 orang hadirin di forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara.
“Jadi saya tidak berapa ingin bercakap mengenai perkara itu,” katanya hari ini ketika diminta reaksi kepada kenyataan bekas perdana menteri itu.
Katanya, bekas penaung Perkasa itu mungkin tidak menjelaskan istilah itu secara jelas dalam ucapannya.
Dr Mahathir semalam memberitahu forum yang beliau tidak percaya kepada konsep itu, dan pernah berkongsi pandangan itu dengan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali.
“Saya tak percaya pada Ketuanan Melayu. Saya pernah beritahu Ibrahim Ali kalau kamu seorang pemandu, orang yang duduk di belakang kamu ialah ‘tuan’,” katanya.
Dr Mahathir juga percaya kejayaan sesebuah negara itu kerana kesudian masyarakat berbilang kaum “berkongsi” dan bekerjasama.
“Kalau ada sesiapa yang cuba mengambil 100% untuk diri mereka sahaja, negara ini tidak akan berkembang. Negara kita berjaya kereana kesudian untuk berkongsi,” kata Dr Mahathir.
Kenyataan Dr Mahathir mengenai kaum berbeza berkongsi dan bekerjasama bukan sesuatu yang baru, kata Sirajuddin.
“Platform tersedia untuk semua kaum bekerjasama,” katanya.
Beliau berkata semua kaum harus mempunyai kepentingan dalam aktiviti ekonomi negara bagi memastikan semua kaum mendapat manfaatnya.
Dr Maahthir dikenali sebagai pejuang hak Melayu semasa menjadi perdana menteri ke-4, dari 1981 hingga 2003. Perdana menteri terdahulu, termasuk perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman, pernah melabel Dr Mahathir sebagai “ultra-Melayu”.

Post a Comment

 
Top