PETALING JAYA: Dedah rakaman pertemuan antara bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang membuat seruan itu susulan kontroversi dakwaan Dr Mahathir yang mereka membincangkan mengenai menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu mesyuarat yang diadakan selepas Zahid dilantik menjadi timbalan perdana menteri pada 2015.
Lim berkata Zahid pertama sekali mengatakan beliau ada rakaman pertemuan itu.
“Malah, beliau kata Dr Mahathir juga ada salinan rakaman yang sama,” katanya dalam kenyataan.
“Jika benar, mengapa rakaman pertemuan Dr Mahathir-Zahid belum dimainkan supaya semua orang tahu apa sebenarnya yang dibincangkan, jika benar Zahid dan Dr Mahathir mempunyai merakam perbincangan mereka itu pada 2015?”
Zahid mengakui ada bertemu Dr Mahathir beberapa hari selepas pelantikannya, tetapi menafikan dakwaan ia bertujuan untuk menjatuhkan Najib.
Dalam ucapannya kepada perwakilan Umno Jerlun Jumaat lepas, Zahid berkata beliau menyimpan rakaman pertemuan itu.
“Saya ingin katakan, ia berlaku atas keizinan perdana menteri selepas 10 hari saya dilantik sebagai timbalan perdana menteri.
“Jangan berbohong. Rakaman itu masih ada pada saya. Mereka mudah lupa, tetapi saya tidak lupa.”
Zahid menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang digugurkan kerana perbezaan mengenai skandal 1MDB.
“Bagaimana saya mahu jatuhkan perdana menteri selepas 10 hari saya dilantik?” soal Zahid.
Presiden Umno hari ini berkata beliau tidak percaya dakwaan Zahid berkonspirasi untuk menggulingkan beliau, menganggapnya sebagai tidak masuk akal.
“Tak masuk akal lepas jadi timbalan perdana menteri minta guling saya. Tak mungkin dan tidak betul. Satu fitnah sama sekali,” kata Najib.
“Kita jangan berlegar cerita begini. Percayalah kepimpinan Umno kukuh dan saya tetap yakin dengan Zahid, habis cerita,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Perwakilan Umno Shah Alam di Seksyen 18 di sini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyeru ahli Umno supaya bersatu kerana dakwaan itu cubaan Dr Mahathir untuk memecah-belahkan kepimpinan parti menuju pilihan raya umum ke-14.-FMT NEWS
Post a Comment