0

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh bagi mendapatkan maklumat sebagai keterlaluan.
Beliau mengalu-alukan tindakan tegas SPRM dalam kes Felda Global Ventures (FGV) dan Jabatan Air Sabah namun mempertikaikan tindakan SPRM dalam kes kilang haram dan kesan pencemaran di Sungai Lembu, Pulau Pinang.
“Tindakan tegas SPRM di dalam kes FGV atau JAS dialu-alukan; meskipun masih timbul persoalan mengapa belum dilanjutkan siasatan terhadap pihak atasan yang bertanggungjawab, termasuk isu 1MDB.
“Maka dalam kes kilang haram dan kesan pencemaran di Sungai Lembu yang dibantah penduduk, tindakan SPRM dianggap munasabah.
“Bagaimanapun, kami musykil kerana tindakan untuk memperolehi maklumat dari Phee Boon Poh dilakukan secara keterlaluan, termasuk tahanan reman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cari kebenaran dan keadilan 
Nada yang sama disuarakan Presiden PH Datuk Seri Wan Azizah Ismail yang kesal dengan tindakan keterlaluan itu walaupun Boon Poh telah memberi kerjasama dengan hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkait isu tersebut.
Bagaimanapun beliau gembira apabila menerima berita bahawa Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah mengetepikan arahan tahanan reman terhadap YB Phee dan beliau kini bebas.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah reman terhadap Boon Poh dan dua beranak yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Sabtu lepas.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas meneliti hujah daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan peguam tertuduh.
Phee, 66, disiasat kerana menggunakan kuasa atau kedudukan untuk ganjaran di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Dua individu lagi berusia 70 dan 37 merupakan pemilik kilang penapis karbon yang didakwa beroperasi secara haram sejak 10 tahun lalu.
Justeru, Wan Azizah yang juga Presiden PKR berkata, oleh kerana proses SPRM ini telah bermula, PKR sedia memberikan kerjasama untuk memastikan kebenaran dan keadilan dalam isu ini dapat diperoleh.
"Saya selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh cukup prihatin akan isu pencemaran yang berlaku di kawasan Sungai Lembu.
"Warga tempatan jelas mahukan isu pencemaran yang mereka hadapi ditangani, yang dizahirkan dalam sebuah memorandum yang ditandatangani seramai 168 orang penduduk dan diserahkan kepada YB Norlela Ariffin, ADUN Penanti yang kemudiannya menyampaikan suara rakyat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa SPRM tidak melakukan 'pendakwaan terpilih' dan segera mengambil tindakan berkait isu 1MDB..-malaysiadateline

Post a Comment

 
Top