0


Tan Sri Isa Samad hari ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysa bagi membantu siasatan berkaitan kes pembelian dua hotel oleh Felda Invesment Corporation (FIC).
Portal berita Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan, penahanan Isa ada kaitan dengan siasatan agensi antirasuah itu terhadap pembelian dua hotel oleh FIC.
Menurut sumber, Isa hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya kira-kira jam 2.40 petang tadi.
Beliau kemudian ditahan kira-kira satu setengah jam kemudian.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan Isa.
Katanya, tindakan menahan bekas naib presiden Umno itu adalah tindakan susulan penyiasatan SPRM yang memperoleh keterangan-keterangan daripada pelbagai pihak sebelum ini.
"Justeru SPRM yakin mempunyai asas kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya beliau dapat membantu melengkapkan siasatan kes berkenaan," tambah beliau.
Isu pembelian hotel oleh FIC bukan sesuatu yang baru. Kira-kira empat tahun lalu Isa - yang kini dilantik menjadi pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) - mempertahankan tindakan tersebut.
Kata Isa, pembelian hotel di London itu tidak bertentangan dengan perniagaan teras syarikat perladangan terbabit.
FIC yang juga anak syarikat Felda membeli Grand Plaza Service Apartments bernilai £115 juta (RM586.5 juta) itu setelah melabur dalam lapan hotel sebelum itu.
"Hotel ini bukan satu perkara luar biasa, pembangkang tak berapa faham, sebelum ini kita dah beli lapan hotel," katanya pada Oktober 2013.
Pada 27 Mei 2015, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low memberitahu siasatan awal SPRM tidak menemui apa-apa asas kesalahan berhubung dakwaan penyelewengan pembayaran RM538 juta oleh FIC untuk membeli sebuah hotel mewah di London.
Low ketika itu menjawab soalan Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke di Dewan Rakyat yang bertanya mengenai status siasatan pembelian hotel mewah Grand Plaza Kensington di London.
Bagaimanapun pada 14 Julai lalu Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad mengarahkan kertas siasatan pembelian hotel itu dibuka semula ekoran ada maklumat baru mengenainya.
Kata Dzulkifli pasukan penyiasat juga mengambil dokumen berkaitan pembelian hotel tersebut dan menilai serta meneliti kesemua maklumat diperolehi.
“Menerusi maklumat siasatan awal, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi berbanding harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit," katanya.
Perkembangan itu menyaksikan SPRM menyerbu pejabat FIC, mengambil pelbagai dokumen dan melakukan penangkapan.
Antara yang ditahan ialah pegawai khas Isa yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Mohd Zahid Md Arip, peguam dan wanita pembantu di sebuah firma perundangan.
Untuk rekod, Isa, 67, ialah veteran dalam Umno yang pernah berkhidmat sebagai menteri besar Negeri Sembilan antara April 1982 hingga Mac 2004.
Beliau juga pernah digantung keahliannya dalam parti kerana disabitkan atas kesalahan "politik wang".
Petang tadi Isa tiba di Ibu Pejabat SPRM ditemani dua peguam, namun mereka dikatakan tidak memasuki pejabat terbabit.-malaysiadateline.com

Post a Comment

 
Top