Pada bulan April 2013, beberapa minggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata begini terhadap penasihat DAP Lim Kit Siang.
“Tuan-tuan, malam ini pun saya nak sebut dengan suara selantang mungkin bahawa Kit Siang adalah seorang rasis (ulang 2 kali), Kit Siang adalah seorang pelampau perkauman. Kita tidak takut nak tarik pergi mahkamah, tariklah tetapi kalau nak tutup mulut saya, mulut saya tidak boleh nak tutup,” katanya seperti dipetik menerusi laman sosial YouTube.
Kini, 4 tahun kemudian, Dr Mahathir tetiba ‘sedar’ dan mengakui bahawa pandangan dulunya terhadap Kit Siang dan DAP adalah tidak tepat.
“Kit Siang bukan anti-Melayu. Beliau berjuang untuk kaumnya seperti yang saya lakukan untuk kaum saya,” kata beliau semalam ketika melancarkan Pakatan Harapan peringkat Johor.
Kalau betul tafsiran kenyataan Dr Mahathir ini, maka tidak timbul lagi soal tanggapan orang ramai tersilap faham terhadap perjuangan Kit Siang untuk kaumnya selama ini.
‘Kesedaran’ (ramai yang berkata U-turn) Dr Mahathir ini tidaklah mengejutkan memandangkan DAP ialah kuasa terbesar dalam Pakatan Harapan yang berselindung di sebalik kurangnya jawatan di peringkat Pakatan Harapan.
Cuma sejauhmanakah rakyat biasa dapat menerima U-turn beliau selama ini.
Kalau seseorang percaya apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir hari ini adalah benar, ini bermaksud seseorang itu telah telah mengakui telah ditipu berdekad lamanya oleh beliau.
Sebaliknya, jika seseorang itu tidak percaya apa yang dikatakan oleh Dr Mahathir sekarang adalah benar, ini bermaksud seseorang itu masih mempercayai apa yang disebut oleh Dr Mahathir dahulu kala sebagai benar.
Pada malam tersebut, bukan sahaja imej Kit Siang yang cuba disucikan oleh Dr Mahathir, malah imej DAP secara keseluruhannya melalui kenyataan beliau ini:
“Imej yang saya bina mengenai DAP tidak benar,” kata beliau sambil menambah, DAP bukanlah parti cauvinis Cina kerana mereka parti berbilang kaum.
Apakah Dr Mahathir bermaksud, di dalam DAP, kaum mana yang menguasai DAP dan juga kerusi ketua menteri Pulau Pinang tidak penting bagi DAP? Sudah tentu Dr Mahathir tahu sejauh mana kebenarannya.
Tapi oleh kerana ini politik, kebenaran bukanlah aspek penting di dalam kenyataan terbaru Dr Mahathir terhadap Kit Siang dan DAP. Yang penting hanyalah persepsi.
Kenyataan Dr Mahathir mendedahkan kepada kita semua betapa jijik dan bahayanya politik di Malaysia.
Segala imej yang sedang dijual oleh para ahli politik kemungkinan besar adalah palsu belaka. Segalanya hanya disebut untuk meraih undi pada ketika ia disebutkan, dan ia sebenarnya jauh dari kebenaran. Di mana batas antara kebenaran dan kepalsuan yang direka-reka oleh para ahli politik? Malangnya, rakyat yang terpaksa mengundi berdasarkan kepalsuan yang direka tersebut.
Contohnya, ada ahli politik yang berkata GST tidak baik untuk negara. Mungkinkah yang sebaliknya ialah benar, di mana tanpa GST negara sudah pun bankrap kerana terlalu bergantung kepada hasil minyak?
Ada ahli politik yang berkata negara akan bertambah baik jika kerajaan bertukar tangan. Mungkinkah yang sebaliknya ialah benar di mana negara akan menjadi huru-hara?
Ada ahli politik yang berkata kuasa sesetengah kaum akan terjejas jika kerajaan yang ada dijatuhkan. Mungkinkah yang sebaliknya ialah benar di mana kuasa itu bukan sahaja kekal malah akan bertambah?
Ada ahli politik yang berkata ada parti Islam yang kalah teruk dalam peperangan 3 penjuru. Mungkinkah yang sebaliknya ialah benar di mana mereka yang kalah teruk dan bukannya parti Islam?
Hari ini, imej yang cuba dibina Dr Mahathir terhadap Umno dan perdana menteri adalah sangat negatif. Apakah imej negatif terhadap Umno dan perdana menteri ini 1 kebenaran atau kepalsuan?
Jika 1 hari ini nanti, Dr Mahathir berkata: “Rekod memilih saya tak baik. Saya tersilap pilih Pak Lah, tersilap pilih Najib dan tersilap pilih untuk bekerjasama dengan DAP.
DAP bukan sebaik yang dijangka dan Najib dan Umno bukanlah seburuk yang saya gambarkan. Imej yang saya bina ini tidak betul. Umno masih ialah penyelamat bangsa, agama dan negara.” Pasti tiada siapa yang akan terkejut.
Yang terkejut hanyalah renungan ini.
Apakah di mata ahli-ahli politik, rakyat sebegitu bodoh sehinggakan mereka sebegitu yakin bahawa mereka boleh mempersepsikan sekeping kertas hitam sebagai sekeping kertas putih dan rakyat tetap akan menerimanya bulat-bulat tanpa soal?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Post a Comment