0


PETALING JAYA: Masjid berhampiran rumah Yong Lim Chan di Taman Alam Megah, Shah Alam tidak jauh, hanya 3 minit perjalanan.
Beliau juga dapat mendengar azan yang berkumandang 5 kali sehari.
Namun Yong berkata ia tidak mengganggunya, malah sudah terbiasa dengan azan dan ceramah agama yang disampaikan di masjid itu.
“Saya tidak mempunyai masalah dengannya, walaupun ia kuat,” kata wanita berumur 32 tahun yang sudah tinggal di kawasan kejiranannya selama lebih 10 tahun.
Di sebuah lagi kawasan kediaman di Klang, Shalini juga sudah terbiasa dengan laungan azan dan ceramah agama dari masjid berhampiran rumahnya.


Tetapi apa yang menyinggung Shalini sebagai penganut Hindu adalah kandungan ceramah dan bukan bunyi kuat.
“Kadang-kadang saya merasa terhina dengan apa yang dikatakan.
“Ada kalanya ceramah menyentuh mengenai keutamaan yang diberikan kepada komuniti tertentu dan saya rasa ia tidak adil kepada kaum lain,” katanya kepada FMT.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini mengarahkan penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah di seluruh Selangor dihadkan di dalam masjid dan surau dan bukan di luar kawasan, kecuali untuk azan dan bacaan Al-Quran.
Baginda berkata langkah itu bagi melindungi imej Islam di Malaysia, berikutan ceramah kontroversi yang disampaikan oleh seorang penceramah kerajaan, Zamihan Mat Zin, di sebuah masjid di Shah Alam awal bulan ini.
Shalini berkata upacara keagamaan penganut Hindu di kuil juga “agak kuat”.
“Jadi jika orang boleh bertolak ansur dengan sembahyang kami, mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama?”
Penduduk yang ditemui yang tinggal berhampiran masjid atau surau berkata mereka tidak diganggu oleh bunyi.
Noor Hidaya, 35, berkongsi keprihatinan Shalini, mengatakan beberapa ceramah agama mungkin terdengar melampau dalam kalangan bukan Islam.
“Beberapa topik mungkin menyinggung perasaan dan kita perlu berhati-hati kerana kita tinggal di negara yang berbilang kaum,” katanya.
Mohd Izman Loke Izwan bagaimanapun merasakan tidak perlu menghadkan sistem pembesar suara.
“Selagi ceramah agama tidak mengandungi serangan terhadap bangsa lain, saya rasa ia tidak menjadi masalah,” kata lelaki berusia 32 tahun dari Bandar Sri Putra, Kajang.
Isu pembesar suara di masjid dan surau sering dibangkitkan. Sebelum ini, terdapat aduan sesetengah masjid memperdengarkan kuliah agama di awal pagi menyebabkan gangguan penduduk sekitar.
Ini memaksa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengarahkan masjid dan surau di negeri itu hanya menggunakan pembesar suara dalaman semasa ceramah agama supaya ia hanya didengar hadirin di dalam masjid.-FMT NEWS-



Post a Comment

 
Top