0

KUALA LUMPUR: Rakyat rata-ratanya mengeluh melihat harga barangan mentah terutamanya ikan, yang dijual pada harga yang dipengaruhi oleh keberadaan “orang tengah” dan peniaga ikan dalam industri itu.
Bagi membantu golongan berpendapatan rendah, kerajaan menyokong usaha Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos mengusahakan projek Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia atau KIR1M, yang menjual produk utama seperti ikan kembung, cencaru, selar, selayang dan pelaling pada harga sehingga 40% lebih murah daripada harga pasaran.
Kedai pertama KIR1M dibuka di sebuah plaza di Setiawangsa pada 2 Disember 2011, menawarkan ikan harga “rakyat” kerana Jamal berusaha memperoleh bekalan terus daripada nelayan.
Bercakap kepada FMT, ahli perniagaan itu berkata projek KIR1M mendapat sambutan luar biasa daripada pengguna, namun beliau sama sekali tidak menyangka “politik ikan” lebih hebat daripada sepak terajang politik parti.
Cabaran jual ikan harga “rakyat”
Jamal menceritakan cabaran utama menjual ikan pada harga ekonomi ialah kebergantungan nelayan kepada “orang tengah” dalam industri itu.
“Mereka terpaksa jual kepada peraih di jeti, kerana mereka tidak boleh lari dari peraih kerana bebanan hutang,” kata Jamal.
Beliau berkata dakwaan pihak tertentu kononnya kenaikan harga ikan membantu kewangan nelayan adalah tidak benar kerana para nelayan sebenarnya dibayar pada harga sangat rendah untuk setiap kilogram ikan.
“Nelayan masih dibayar RM3 hingga RM4 untuk sekilogram. Jika harga ikan naik sehingga RM18 sekilogram, ia bukan beri keuntungan kepada nelayan,” jelasnya.

Selain peraih, Jamal juga terpaksa berdepan peniaga lain, yang barangkali tidak senang dengan bau-bauan ikan.
“Pemilik bangunan yang saya sewa itu mengambil semula kedainya setelah mendapat aduan dari peniaga lain di kawasan sekitar. Pemilik premis itu tidak membenarkan saya menyambung kontrak sewaan,” katanya.
“Jika saya jualnya di pasar, peniaga ikan lain akan marah,” tambahnya.
Selepas beroperasi selama 2 tahun 4 bulan, hasrat Jamal menjadi peneraju kedai ikan “rakyat” akhirnya tergendala selepas beliau disaman beribu ringgit dan kedainya diroboh pihak berkuasa tempatan.
“Akhirnya saya terpaksa akur untuk tutup,” katanya.
Jamal belum serik
Kini selepas 6 tahun peristiwa itu berlalu, Jamal kembali menjual ikan harga murah namun secara kecil-kecilan di pasar basah Sekinchan, jeti nelayan Sekinchan dan di Ampang.
“Saya jual ikan lagi dengan harga RM5 sekilogram dan masih mendapat keuntungan,” katanya.
Jamal belum serik untuk membuka kembali perniagaan berasaskan barangan basah jika diberikan ruang oleh mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri dan pusat.
“Saya tidak harapkan mana-mana bantuan, cuma bagi saya tempat, mungkin di Selangor. Saya boleh jual ikan dengan harga patut setiap hari,” katanya.
Pengguna boleh dapatkan laporan harga borong dan runcit makanan laut mingguan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia di sini.

Post a Comment

 
Top