0


PETALING JAYA: Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kerana membidas sebuah kedai dobi di negeri itu yang melarang pelanggan bukan Islam, sambil menyifatkan orang Cina tidak suci selepas membuang air besar.

“Kita ini negara Islam, pemimpin Islam, raja Islam, sultan Islam. Semua sumpah, wallahi, wabillahi… nak buat dobi ‘for Muslims only’ pun tak boleh, kita kata jumud, kita kata Taliban,” kata Zamihan Mat Zin ketika menyampaikan kuliah agama di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, hujung minggu lalu.



Beliau mengulas kenyataan Sultan Ibrahim seperti dilaporkan The Star pada 27 September lalu, yang menyifatkan tindakan pemilik kedai dobi Elit Laundry di Muar itu memalukan rakyat negeri Johor.

“Ini bukan negeri Taliban dan sebagai ketua agama Islam di Johor, tindakan ini tidak boleh diterima langsung kerana bersifat ekstremis,” kata Sultan Ibrahim, sambil memberi amaran sebarang bentuk diskriminasi tidak ada tempat di negerinya.

“Kita bangga sebagai Bangsa Johor dan saya mahu tahu di mana pemilik dobi itu belajar Islam?” katanya.

Zamihan bagaimanapun berkata isu melibatkan kedai dobi itu diperbesar-besarkan oleh musuh Islam dan menjadi masalah apabila ia diulas sultan selaku ketua agama Islam.

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu,” katanya,

Zamihan, yang juga mengetuai Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) turut membidas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kerana menyokong pendirian Sultan Johor itu.

“Ertinya, mufti menyokong dobi mesra kafir. Cerdik tak cerdik?” katanya. “Apa barang ahli Sunnah wal Jamaah, ini bukan Sunnah wal Jamaah, ini punah-ranah. Pemikiran punah-ranah. Inilah Ustaz Zamihan, presiden Aswaja.”

Zamihan kemudian bertanyakan sama ada hadirin di masjid tidak setuju dengan pendirian beliau, tetapi tidak mendapat reaksi.

Katanya, beliau tidak gentar mengkritik pihak atasan termasuk sultan.

“Nak manipulasi ke, nak rakam ke, nak edit video ke, saya tak takut pun.



“Ada setengah orang dia buat video ini kepada menteri, kepada sultan, kepada raja. Silakan! Apa kita nak takut kalau kita bercakap menjunjung kebenaran?” tambahnya.

‘Cina kencing berak tak basuh’

Dalam ucapannya, Zamihan turut membutirkan bagaimana orang bukan Islam membuang air kecil, sambil berkata titisan air kencing akan terkena di pakaian mereka.

Menurutnya, pakaian umat Islam tidak boleh dibiarkan bercampur dengan pakaian bukan Islam kerana umat Islam perlu memastikan pakaian mereka suci ketika beribadat.

“Pakaian kita untuk kita buat ibadat, nak buat sembahyang, nak buat baca Quran, nak buat tawaf, nak buat Haji… mana boleh berlumur dengan pakaian bukan Islam.

“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan.

Post a Comment

 
Top