0

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg berkata negeri itu susah mendapat peruntukan sepanjang pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkata adalah pelik bekas perdana menteri itu kini cuba mendapatkan sokongan rakyat Sarawak.
“Dalam pemerintahannya 22 tahun, pernah kita minta bantuan daripada kerajaan pusat untuk kita bangunkan negeri kita kerana kita kekurangan peruntukan.

“Yang pertama kita nak minta jalan raya pesisir dibangunkan. Kita dah ada jalan bukit yang ada sekarang, kita rasa kita juga perlukan jalan pesisir.
“Kita minta kalau boleh bangunkan jalan raya. Tunggu.. tunggu sampai tak ada jawapan untuk bangunkan jalan pesisir. Tak ada peruntukan. Kenapa? kita tak tahu,” katanya kepada kira-kira 5,000 anak Sarawak pada Majlis Lan Berembah Anak Sarawak yang diadakan di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang peserta yang bertanya mengenai kehadiran Dr Mahathir ke Sarawak baru-baru ini dan apakah pendiriannya mengenai kehadiran bekas perdana menteri itu.
Abang Johari berkata, berbanding Dr Mahathir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat prihatin dengan Sarawak.
Katanya, ini dibuktikan dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dari Limbang ke Lawas.
“Dalam masa begitu singkat Datuk Najib beri maklumbalas kepada kita buat Lebuhraya Pan Borneo.
“Kita juga mahu terlibat dalam sektor minyak dan gas. Datuk Najib jawab kita boleh runding dan akhirnya dilantiknya anak Sarawak sebagai pengarah dalam Petronas,” katanya.
Bulan lalu dalam rangka lawatannya ke Sabah dan Sarawak, Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan akan menyediakan manifesto khas untuk Sabah dan Sarawak dan mengkaji ketidakpuasan hati rakyat di kedua-dua negeri itu dan mencari penyelesaiannya.
“Mereka mahu diberi kawalan ke atas produk petroleum, pendidikan dan sebagainya. Kita akan kaji. Kita akan tengok dengan fikiran terbuka,” katanya pada sidang media di Sarawak yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top