0


KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali membalas sindiran perdana menteri mengenai lawatannya ke China baru-baru ini bertujuan mengesan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.
“Wahai @NajibRazak, saya ke China untuk mencari Jho Low. Hahaha,” tulisnya di Twitter.



azmin-ali-tweet-ms-1
Terdahulu, ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Datuk Seri Najib Razak menasihatkan pembangkang supaya berhati-hati mendakwa lawatan kerajaan pusat ke China sebagai menggadaikan negara, sedangkan pemimpin pembangkang sendiri turut mengadakan lawatan ke luar negara untuk menarik pelaburan.
“Seandainya saya dan rakan-rakan anggota Kabinet mengadakan lawatan rasmi ke luar negara, janganlah sewenang-wenangnya sesiapapun menuduh kita hendak menggadai kedaulatan tanah air.
“Baru-baru ini, saya mendapat khabar berita katanya menteri besar Selangor merangkap ahli Parlimen Gombak sendiri telahpun berkunjung ke tanah besar China. Kita nak tanya, YB Gombak nak jual Selangor ke?
“Demikianlah kata orang, berhati-hatilah kalau mahu meludah ke langit, takut-takut nanti ia jatuh setepek, terpalit ke muka sendiri.
“Itu belum lagi dikira lawatan-lawatan ke luar negara yang dibuat ahli Parlimen Bagan, juga ketua menteri Pulau Pinang. Itupun kira macam mana, kita kira macam mana, nak jual negeri juga ke?” soalnya merujuk Lim Guan Eng.
Lawatan rasmi 6 hari Najib ke China pada November 2016 menyaksikan 14 perjanjian dengan pelaburan lebih RM143 bilion.
Ia disusuli lawatan rasmi kali ke-2 ke China pada 12 Mei lalu, atas jemputan Presiden, Xi Jinping yang dikritik pembangkang sebagai tidak menguntungkan negara.
Bagaimanapun, Azmin turut dilaporkan melawat China untuk menarik pelaburan ke Selangor, baru-baru ini.
Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menjawab soolan tambahan Azmin di Dewan Rakyat berkata, Malaysia meminta bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low, tetapi belum mendapat sebarang maklumat terperinci daripada agensi antarabangsa itu.
Pejabat Zahid kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan menafikan laporan itu dengan menyifatkan “beberapa media sosial memanipulasi jawapan timbalan perdana menteri” kerana tiada kes untuk disabitkan.
Pada 14 Ogos lalu, Azmin memfailkan saman terhadap ketua polis negara di Mahkamah Tinggi untuk menyiasat Jho Low.
Timbalan presiden PKR itu dalam tuntutannya mahu mahkamah mengeluarkan perintah kepada ketua polis negara untuk mengesan dan menahan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang.
Jho Low yang hilang daripada pandangan umum, kini dipercayai menetap di China.-FMT NEWS-



Post a Comment

 
Top