0


PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan pihak yang membantah penganjuran pesta arak Jerman “Oktoberfest” bahawa negara itu juga membantu kira-kira sejuta pelarian Islam dari seluruh dunia.
“Jerman menerima satu juta pelarian Islam dari Syria. Apakah balasan pelarian ini kepada orang Jerman sebagai tuan rumah ialah dengan melarang mereka dari minum beer dalam Oktober Fest mereka,” tulis bekas perdana menteri itu di blognya.


Sebaliknya, beliau berkata umat Islam negara ini perlu lebih menumpukan usaha terhadap penyalahgunaan dadah yang majoritinya melibatkan beliau Melayu.
“Orang Melayu berkata jaga tepi kain sendiri. Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer,” katanya, sambil berkata beliau tidak kisah kritikan terhadapnya kerana tidak membantah penganjuran Oktoberfest.
Penganjur Oktoberfest yang melibatkan penjualan arak menghadapi kesukaran mendapat permit pihak berkuasa baru-baru ini, selepas bantahan beberapa kumpulan termasuk PAS yang mahu ia diharamkan atas alasan sensitiviti umat Islam. Ia disusuli dengan arahan polis membatalkan pesta itu atas sebab ancaman militan.
Dr Mahathir berkata bukan menjadi masalah umat Islam sekiranya orang bukan Islam meminum arak selagi ia tidak memudaratkan keselamatan awam.
“Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk,” tulisnya.
Menurutnya, masalah dadah di kalangan anak muda Islam ada kaitan dengan tragedi kebakaran di sebuah pusat tahfiz bulan lalu yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar.
“Ternampak seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya. Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah,” kata beliau.
“Kenapa tidak didengar anak Cina dan India terlibat dengan dadah. Apakah ini juga takdir?”
Polis sebelum ini dilaporkan berkata 6 daripada 7 remaja yang didakwa memulakan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur disahkan positif ganja.
Dr Mahathir berkata sebahagian daripada masalah dadah di kalangan anak muda Islam adalah kerana cara pembelajaran yang hanya menitik beratkan soal ibadah lebih daripada budi pekerti.
“Tetapi di sekolah, selain dari mengajar ibadat tertentu untuk pahala tidak ada tekanan yang cukup terhadap pengajaran budi pekerti Islam; terhadap dosa pahala, baik buruk, amalan hidup dalam Islam. Dengan itu anak mudah terjebak dengan yang tidak baik, termasuk penggunaan dadah,” kata pengerusi PPBM itu.-FMT NEWS-


Post a Comment

 
Top