0

PETALING JAYA: Sultan Johor berkata, jika isu dobi “mesra Islam” tidak dihentikan segera, ia akan menyebabkan perpecahan kaum dan masalah lain seperti kemungkinan wujud wang kertas “hanya untuk Islam”.
Selaku ketua agama negeri, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dipetik China Press sebagai berkata, baginda mempunyai tanggungjawab untuk melindungi perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum, serta mengambil tindakan segera bagi menghentikan sebarang isu yang boleh menyebabkan perpecahan kaum.


“Sebuah kedai dobi di Muar meletakkan papan tanda ‘mesra Muslim’, saya rasa ini akan menyebabkan syak wasangka terhadap kaum dan agama lain, serta mencerminkan gaya hidup halal yang ekstrem.
“Hakikatnya, Islam mementingkan keharmonian dan layanan adil kepada orang bukan Islam, pemikiran sempit ini bukan cara hidup Islam yang sepatutnya ada di Johor,” kata Sultan Johor pada Majlis Konvokesyen Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ke-17 di Batu Pahat, hari ini.
Sultan Ibrahim memberi contoh setiap orang mempunyai wang kertas yang akan bertukar tangan serta mungkin disentuh peniaga arak dan daging babi, selain mungkin dicemari najis, jadi adakah kerajaan perlu memperkenalkan wang kertas “mesra Muslim”?
“Bagaimana pula dengan tempat duduk di kawasan awam? Kerusi itu mungkin dijilat anjing atau cadar dan bantal di hotel juga mungkin dicemari najis.
“Perkara begini tiada penghabisannya. Kalau semua tidak boleh diterima, saya cadangkan orang-orang macam ini berpindah ke gua, jangan hidup dalam masyarakat.”
Terdahulu, Sultan Johor dilapor menyifatkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Zamihan Mat Zin sebagai “tin kosong yang tiada otak” serta “seolah-olah dia sahaja yang betul dan mencerca bangsa lain.”
Ia selepas tindakan Zamihan mengkritik Sultan Ibrahim mengenai isu kedai dobi “mesra Islam” di Muar menerusi rakaman ceramahnya di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Ahad lalu.
Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) menyokong kedai dobi khas untuk umat Islam dengan berkata, pandangan Sultan Ibrahim itu “tidak patut”, sambil menyifatkan orang bukan Islam kotor sehinggakan pakaian mereka tidak boleh bercampur aduk dengan pakaian orang Islam.
“Cina biasa kencing berak tak basuh. Bagaimana tentang darah haid mereka, pada pakaian dalam mereka, peluk dakap anjing, minum arak, tumpah arak, makan babi, sup babi. Itu semua sinonim dengan mereka,” kata Zamihan yang baru dibebaskan petang tadi daripada tahanan reman 3 hari kerana disyaki menghasut.
Selasa lalu, Majlis Raja-raja Melayu turut mengecam dasar perniagaan untuk “orang Islam sahaja” sebagai tindakan bersifat keterlaluan yang boleh menjejaskan keharmonian dan membawa implikasi lebih mendalam, jika berkaitan atau dilakukan atas nama Islam.


Post a Comment

 
Top