“Sebenarnya sayalah orangnya yang mempersetankan DAP. Dalam politik jika kita nak kalahkan musuh, kita terpaksa memburukan imej musuh. DAP adalah musuh parti saya dan saya sendiri.” – Tun Dr Mahathir Mohamad, 5 Oktober 2017.
Rakyat perlu mengucapkan terima kasih terhadap kenyataan Dr Mahathir ini.
Mulai sekarang, mereka yang kini berkawan dengan Dr Mahathir, tak perlulah bising-bising apabila dipersetankan pihak lawan sebagai pihak anti-Islam, pendokong budaya songsang dan juga penghakis kuasa orang Melayu. Ini adalah lumrah politik.
Mereka yang mempercayai Dr Mahathir juga tidak perlu mengambil serius apa yang diperkatakan beliau hari ini kerana ia sekadar taktik membunuh musuh, dan bukannya kebenaran sebenar.
Jadi apabila Dr Mahathir berkata DAP bukan parti Cina dan bukan parti cauvinis, faham-faham sahajalah apa maksud yang tersirat.
Apabila Dr Mahathir berkata Umno dulu tak ada penyangak, ingat-ingatlah sebelum percaya.
Apabila Dr Mahathir menuduh PAS sebagai perosak di Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), terbalikkanlah sahaja kenyataan itu sebelum percaya.
Apabila Dr Mahathir tampil mempertahankan Syed Saddiq atas tuduhan bahawa beliau cuba dibeli, tangguh dulu percaya itu sehinggalah ada bukti sahih.
Apabila Dr Mahathir berkata Pakatan Harapan boleh menang dalam pertandingan 3 penjuru, jagalah kesihatan supaya kalian dapat melihat sejauh manakah kenyataan ini benar di PRU14 nanti.
Sebenarnya banyak perkara yang berlaku hari ini, seperti kata Dr Mahathir, adalah lumrah politik.
Parti-parti politik saling mempersetankan lawan masing-masing dengan segala lumpur yang ada.
Pada masa yang sama, rakyat turut dipersetankan untuk mempercayai segala bohong yang dilemparkan ke atas pihak lawan.
Sama ada 3 penjuru atau tidak di PRU14, sebenarnya PRU14 adalah kubur rakyat. Permainan politik ini, bagaimanapun kesudahannya, yang terkena hanyalah rakyat.
Rakyat tidak perlu melihat jauh. Lihatlah insiden meroboh tiga rumah dan dua rumah kedia di Subang pada Rabu lepas.
Selepas insiden roboh itu menjadi kontroversi, Datuk Seri Menteri Besar Selangor mempersalahkan Tan Sri Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Tan Sri pula menyalahkan Datuk Seri tidak tahu undang-undang.
Ada sesiapa yang mahu berbincang bagaimana insiden ini dapat dielakkan pada masa depan? Tiada. Kalau ini bukan persetankan rakyat, apa dia?
Sudah tentu ramai yang masih teringat kontroversi Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor, Pulau Pinang, bagaimana rumah-rumah di kampung itu tetap dirobohkan di 2009 walaupun Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang di 2008 selepas isu itu dijadikan bahan kempen PRU12.
Kepada rakyat, daripada kita dipersetankan para ahli politik, apa kata kita persetankan mereka di PRU14?
Kita nyahkan mereka bermain kotor. Kita nyahkan mereka yang hanya tahu persetankan orang lain. Kita nyahkan mereka yang mencuri. Kita nyahkan mereka yang tidak bekerja. Kita nyahkan mereka yang merosakkan fabrik masyarakat. Kita mengundi ikut suka kita, dan bukannya ikut kata-kata setan mereka.
Biar ini menjadi lumrah politik yang baharu. We are their boss.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Post a Comment