Oleh Muhammad Syafiq Azmi
Saya kini sedang membaca sebuah buku yang kritikal mengkritik bangsa Melayu. Dan mungkin telah menjawab beberapa persoalan yang selama ini saya cari-cari. Rupanya sudah lama perangai Melayu seperti hari ini.
Bukan baru semalam, bukan baru seminggu, apa lagi sepurnama, yang nyata ia sudah berlangsung berabad lamanya. Maknanya sikap itu sudah bersarang dijiwa dan raga yang namanya Melayu hingga menjadi sifat.
Permasalahan ketirisan ekonomi dan moral pimpinan negara kita sering diamkan. Datang cerita yang berkait dengan agama dan bangsa mulalah berani tunjuk lagak. Lebih menjengkilkan, kita tiba-tiba jadi mufti tanpa tauliah.
Mengapa bila datang bab nak urus negara dan negeri, diam menikus dan jadi pemalas (untuk berfikir)? Sebab itu saya sering menulis cara paling mudah untuk orang politik mendapat undi adalah dengan berlegar kisah bangsa dan agama dalam lingkup sentimen semata.
Tidak mustahil suatu hari nanti akan ada yang mengesyorkan pengeluaran “wang Muslim” dan “wang bukan Muslim”. Walhal anda lupa apa yang penting adalah mengajar sesama rakyat untuk saling menghormati tanpa perlu diselongkar apa yang ada dalam hati mereka.
Pernah dulu saya menulis bahawa makanan tidak halal bukan sahaja bersebabkan tiada logo halal. Berketayap atau bertudung labuh juga bisa menyebabkan makanan atau minuman menjadi tidak halal. Bukan kerana adanya babi atau alkohol didalamnya, tetapi kerana unsur kebersihan yang tidak diurus dan dijaga.
Cuma saya tidak berasa pelik kenapa Melayu yang saya juga lahir dari rumpunnya menjadi seperti ini, semuanya sudah diatur dan dicatur oleh mereka yang berada dalam kerangka feudalisme.
Kalau dahulu pada abad dan zaman Kesultanan Melayu Melaka, sistem feudal itu sudah tentu merujuk institusi istana. Hari ini istana itu tidak lebih dilihat sebagai tempat penganugerahan darjah kebesaran semata oleh rakyat jelata.
Feudalisme hari ini dibimbing oleh kerajaan yang memerintah. Mereka berlagak bak raja yang bersemayam disinggahsana. Ada yang wataknya mirip Hang Tuah dan ada yang serupa Hang Jebat. Itu belum dihurai tajuk yang mewarisi sikap dan perangai Sultan Mahmud.
Mengikut Abdullah bin Abdul Kadir Munshi atau lebih dikenali dengan nama Abdullah Munshi, masyarakat Melayu pada abad ke-19 mempunyai masalah yang tidak sihat. Ada yang menghisap candu, berjudi dan berlaga ayam.
Bagi Abdullah Munshi masyarakat Melayu feudal tidak menitikberatkan pendidikan yang sihat. Kalaulah Abdullah Munshi hidup sehingga saat ini, dia akan perlu dikurniakan darjah kebesaran dek kerana telahannya yang tepat dan kekal hingga ke hari ini.
Orang Melayu perlu jadi berani untuk membidik sasar perubahan. Bukan terus bergantung harap kepada mereka yang di atas. Mereka menganggap kita anjing, dalam masa sama juga kita menjerit mereka anjing. Tapi yang terus kenyang dan memboyot adalah perut dan kantung mereka.
Jika ada orang politik jujur dan bijak pada zaman ini, dia pasti akan dihabiskan seperti Hang Kadim yang dibunuh kerana kebijakan.
Justeru, untuk kita sama-sama memastikan masa depan anak nusa dan bangsa Malaysia ini beransur ke arah yang lebih matang dan sedar, mengamalkan demokrasi yang sebenar, kita perlu jadi pemulanya.
Kita ajar mereka yang kononnya menjadi pembela Melayu dan Islam. Mereka terus beromantisan dengan pemimpin yang kononnya baik walhal perompak, mereka terus hidup dalam sindrom penafian hanya kerana kepentingan mereka.
Melayu boleh berubah jika mereka tidak merayu dan me-layu. Jika tidak, teruslah hidup merempat dinegara sendiri.
Saya mencabar semua yang berstatus warganegara tanah air tercinta ini membuktikan telahan Abdullah Munshi dan saya sebenarnya salah dan tidak terguna pakai dizaman anda.
Muhammad Syafiq Azmi adalah Presiden Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM)
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.
Post a Comment