0

Santunilah pekerja Bangladesh sebaiknya, mereka juga ciptaan Tuhan. Sebaliknya hukumlah BN di peti undi dalam PRU akan datang.

Oleh Azzan Aznan Abdul Rahim

Saya bersetuju anda tidak bersetuju kerajaan Barisan Nasional membawa 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara kita.

Saya juga bersetuju bahawa anda menyampah dengan jawapan kolot bapak menteri Zahid Hamidi.

Saya amat bersetuju jika bapak menteri sendiri mencabar anaknya untuk bekerja keras dan KOTOR di bawah payungan sinar mentari daripada bekerja di suite mewah berhawa dingin.

Namun, saya mohon berbeza pandangan soal kenyataan rambang daripada beberapa rakan kita yang mengheret subjek bangsa dan negara dalam isu ini.




Jangan salahkan bangsa Bangladesh jika ada orang Bangladesh yang melanggar undang-undang ketika berada di Malaysia.

Jangan sesekali menyalahkan negara Bangladesh apabila rakyat Bangladesh yang berada di sini berbuat salah. Pendek kata, mohon elakkan memukul rata apabila berbicara akan sesuatu itu, lebih-lebih lagi perihal sesama manusia.

Soal perbuatan jahat, bukan rakyat Bangladesh sahaja yang menjadi pesalah tegar, rakyat bangsa lain juga kerap dituduh, ditangkap dan didakwa kerana melakukan jenayah.

Saya harap, kemarahan kita untuk isu ini tidak disalurkan atau dimanifestasikan kepada pekerja Bangladesh yang kita jumpa di stesyen minyak, Plaza Low Yat, kedai mamak, kilang-kilang dan tempat lain. Santunilah mereka sebaiknya, mereka juga ciptaan Tuhan sama seperti kita.




Ternyata kita sendiri tidak mahu dibenci dan dicaci apabila berada di negara lain. Samalah juga seperi kawan-kawan kita yang mencari rezeki di Malaysia. Berbuat baiklah, kerana kemanusiaan itu merentasi bangsa dan warna kulit.

Akhirnya, salurkanlah kekecewaan, kemarahan, kejelekan anda dalam isu ini terhadap parti Barisan Nasional di dalam PRU akan datang. Hukum mereka di peti undi!

**Penulis adalah Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN)
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT



-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top