Nazri dedah MT UMNO mahu Muhyiddin dipecat dan Mahathir, Shafie dan Mukhriz dikenakan tindakan tegas.
KUALA LUMPUR: Ramai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat daripada parti, kata Datuk Seri Nazri Aziz.
Nazri mendedahkan bahawa mesyuarat MT Umno Jumaat lalu berlangsung agak lama kerana ahlinya membincangkan setegas mana tindakan yang harus dikenakan bukan sahaja kepada Muhyiddin, malah kepada beberapa rakan beliau.
Menteri Pelancongan itu yang telah mengusulkan agar Muhyiddin hanya digantung jawatan menyatakan beliau tegas dengan permintaan beliau yang setimpal dengan kesalahannya.
“Kalau saya tak cerita di bawah (orang akan spekulasi) macam-macam. Dua jam (ambil masa) hendak bincang (kerana) ramai nak pecat dia. Ada kata kenapa gantung sahaja. Kenapa tak pecat terus? Itu yang sampai dua jam tu. Bukan kerana tak setuju dengan (usul) saya. Biar orang luar faham. Orang ingat ada orang membangkang (tindakan ke atas Muhyiddin).
“Tapi saya pertahankan usul saya. Saya kata usul saya (adalah) kerana dia (Muhyiddin) tak menjalankan tugas dia (sebagai timbalan presiden),” kata beliau dalam wawancara bersama FMT semalam.
Jumaat lepas, Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan MT UMNO sebulat suara menggantung Muhyiddin sehingga pemilihan parti berikutnya selepas gagal membantu presiden parti.
Mesyuarat dua jam yang berlangsung tanpa kehadiran presiden, Datuk Seri Najib Razak, pengganti Muhyiddin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin sendiri dan rakannya Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi tajuk perdebatan di media sosial.
Nazri, ahli MT yang setia dan lantang turut mendedahkan Umno turut mahu mengambil tindakan terhadap rakan subahat Muhyiddin, iaitu Shafie, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad setelah mendapat aduan daripada ahli UMNO.
Malah Nazri mendakwa jawatankuasa displin UMNO telah mengutus surat kepada MT kerana tidak sanggup untuk mendengar kes tersebut kerana melibatkan ahli parti berprofil tinggi.
“Sebab, pertama sekali pada hari itu kalau nak ambil tindakan tegas bukan terhadap dia (Muhyiddin) sahaja. Shafie pun, Mahathir pun, Mukhriz pun. Hari itu kita hanya bercakap tentang Muhyiddin. Dan sebenarnya memang ada aduan terhadap Muhyiddin, Shafie, Mukhriz, Mahathir dan beberapa lagi untuk dihadapkan ke Jawatankuasa Displin. Tapi Jawatankuasa Displin tulis surat kepada MT, kerana orang-orang ni besar. Yang kita nak bincang ni Timbalan Presiden, Naib Presiden, yang ketika itu menteri besar, bekas presiden. Jadi mereka tak sanggup buat.
“Ketika itu yang jadi hangat soal Muhyiddin, jadi kita tak bincanglah. Jadi yang lain tu mesti ada dossier (fail dan dokumen) dia, kesalahan dia. Muhyiddin tu senang. Kita gantung jawatan dia. Itu sahaja,”
-FMT NEWS-
Post a Comment