0

Ong Chin Wen dan Cheah Kah Peng dilapor telah diminta melepaskan jawatan yang dipegang dalam agensi dan syarikat kerajaan Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Pulau Pinang dikatakan mula menerima ‘hukuman’ kerana tidak mengundi usul Barisan Nasional (BN) berhubung penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu tahun lalu.

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan ADUN Kebun Bunga, Cheah Kah Peng dikatakan telah diminta melepaskan jawatan yang dipegang dalam agensi dan syarikat kerajaan negeri.

Sinchew Daily melaporkan Chin Wen yang merupakan ahli lembaga pengarah dalam agensi pelaburan negeri dan Island Golf Properties Bhd telah menerima surat pada awal tahun ini memintanya meletak jawatan.




Manakala Kah Peng juga diminta melepaskan jawatan yang dipegang dalam agensi di bawah kerajaan negeri.

Chin Wen ketika dihubungi Sinchew Daily mengesahkan beliau diminta melepaskan jawatan tetapi Kah Peng tidak memberi pengesahan.

Tiga wakil rakyat PKR lain yang turut tidak mengundi dalam usul penambakan laut bagaimanapun tidak terjejas.

Mereka ialah ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; ADUN Batu Uban, Jayabalan A. Thambyappa dan ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Khai Loon menurut akhbar itu, masih memegang jawatan sebagai ahli lembaga pengarah dalam sebuah agensi kerajaan Pulau Pinang.
Tindakan lima ADUN PKR yang tidak mengundi usul BN mengenai penambakan laut pernah menimbulkan kemarahan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyatakan Chin Wen cuba ‘memberontak’.

PKR mempertahankan tindakan lima ADUN itu kerana melihat isu tambak laut itu sebagai isu besar melibatkan alam sekitar dan kepentingan rakyat.





Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, tindakan itu kerana beliau telah hilang keyakinan kepada ADUN berkenaan.

“Apabila anda hilang keyakinan terhadap seseorang yang bersetuju dengan anda dan kemudian memungkiri janji mereka, bagaimana mereka boleh berfungsi dengan berkesan dan secara profesional, terutamanya bila saya jadi pengerusi,” katanya yang dipetik Malaysiakini.

Guan Eng menjelaskan bahawa kedua-duanya menimbulkan kemarahan rakan-rakan mereka dalam kerajaan negeri apabila mereka sebelum ini telah bersetuju untuk tidak menyokong usul Umno, yang dibentangkan oleh ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad November tahun lepas.

“Mereka kemudiannya menikam kami dari belakang apabila mereka berkecuali daripada mengundi menentang usul itu.

“Sekarang, kita tidak yakin mereka akan dapat berfungsi secara profesional dan berkesan dan jika saya, sebagai seorang pengerusi, tidak mempunyai keyakinan terhadap anda, maka anda perlu tahulah apa yang patut dibuat,” kata Setiausaha Agung DAP itu.




-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top