0

Kalau kenyataan Muhyiddin tidak dapat merungkai atau menyelesaikan apa-apa kecuali tambah mengelirukan, lebih baik beliau tutup mulut sahaja.

Pergantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO mengundang ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong beliau, termasuk mereka yang merasakan proses tersebut sebagai tidak adil.

Kebanyakan orang yang mengikuti perkembangan politik pula sudah boleh menduga langkah ini daripada Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Apalah sangat jawatan Timbalan Presiden UMNO jika jawatan Timbalan Perdana Menteri pun boleh ditarik balik. UMNO, Melayu dan Johor ternyata ada hubungan rapat, namun ia tidak dapat berbuat apa-apa untuk Muhyiddin sejak digugurkan daripada jawatan nombor dua negara.




Sekarang tinggal Muhyiddin sebagai ahli Parlimen Pagoh (menggunakan tiket UMNO) dan ahli UMNO yang mana beliau sendiri pernah akui enggan meninggalkan parti Melayu itu.

Siapapun tidak mungkin lupa kata-kata Muhyiddin, “I am a Malay first” apabila dicabar oleh Lim Kiat Siang untuk menyatakan sama ada dirinya adalah ‘Malay first’ atau ‘Malaysian first’. Jadi, tidak mungkinlah Muhyiddin sanggup menggadaikan keanggotaanya sebagai ahli UMNO yang memperjuangkan keMelayuan walaupun dihimpit dengan pelbagai dilema politik dalam UMNO.

Namun, sejak beliau membuat pelbagai kenyataan yang kontra dengan Najib berkenaan syarikat pelaburan negara 1MDB hingga yang terbaru mengenai wang dalam akaun peribadi Najib dan SRC International, beliau dilihat belum membuat satu keputusan politik yang kukuh atau konsisten.




Ini kerana, jika Muhyiddin benar-benar mahu membuat pendedahan dan menyelamatkan negara ini, saya percaya ia boleh dilakukan secara berhemah dan mengikut prosedur. Tetapi lain pula ceritanya apabila Muhyiddin bertindak ‘melepaskan’ satu per satu tiap kali berdepan dengan situasi genting.

Ia boleh dilihat sejak hari pertama beliau ‘menyerang’ Najib, setiap kali Perdana Menteri bertindak, Muhyiddin memulakan serangannya, ini termasuk selepas digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri hingga digantung sebagai Timablan Presiden UMNO.

Selepas satu aksi (tindakan) oleh Najib, Muhyiddin tampil dengan reaksi (respon) dan saya berpendapat ia bukanlah pendekatan yang sepatutnya digunakan oleh seorang ahli politik yang berpengalaman. Kami tidak mahukan reaksi kepada setiap aksi tetapi penyelesaian. We dont want reaction to every action, we want solution!

Namun, apa yang dilakukan oleh Muhyiddin pula lebih membuatkan semua orang khususnya orang awam tertanya-tanya status sebenar skandal tersebut.




Jangan tutup buka, tutup buka dan tutup buka sesuatu perkara. Kalau benar anda tahu sesuatu ia sepatutnya didedahkan kepada pihak berwajib ketika penyiasatan dilakukan. Inikan tidak, setiap perkataan yang keluar daripada Muhyiddin dilihat sebagai bersifat ‘reaksi’ sahaja.

Oleh itu, kalau benarlah Muhyiddin atau mana-mana pihak tahu perkara sebenar, sila buat pengakuan kepada pihak yang sepatutnya dan usah tampil dengan kenyataan yang mengelirukan masyarakat. Cakap sekejap, selepas tu terus diam seribu bahasa. Ia juga menyebabkan pelbagai spekulasi dan andaian oleh pelbagai pihak. Kalau kesannya hanya pada UMNO, BN tidak mengapa tetapi apa yang berlaku sekarang ialah kepada seluruh negara!

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai ada berkata bahawa rakyat Malaysia tidak mahu terbeban dengan polemik politik. Malah beliau akui kita perlukan sebuah kerajaan yang stabil bagi memajukan ekonomi, khususnya dalam situasi mencabar sekarang. Itu juga hasrat saya dan saya percaya seluruh rakyat.




-FMT NEWS-

Post a Comment

 
Top