0






KULIM: Ahli akar umbi UMNO Kedah sebulat suara menolak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO.
Dalam satu sidang media di sini semalam, mereka menyeru kedudukan Najib sebagai Presiden dikaji balik berikutan tindakan Najib dan ketua-ketua bahagian UMNO Kedah cuba menjatuhkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.
Jurucakap kepada Ketua Cawangan UMNO Kedah Selatan yang hanya mahu dikenali sebagai Norhayati berkata, akar umbi UMNO Kedah kesal dengan tindakan ketua-ketua bahagian yang tidak menyokong Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Menteri Besar.
“Tindakan ini bukan mewakili akar umbi UMNO Kedah. Kami ketua akar umbi cawangan UMNO adalah jentera yang menentukan kemenangan BN di Kedah.

“Sekiranya berlaku pemecatan Mukhriz sebagai Menteri Besar, kami yakin usaha kami menentukan kejayaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan menjadi rumit,” katanya.
Selain menuntut kedudukan Najib sebagai Presiden dikaji, akar umbi UMNO Kedah juga menuntut UMNO bertindak dengan kewarasan dan bukan ikut perasaan.
“Jangan biarkan ahli UMNO tidak undi Barisan Nasional (BN) dalam PRU14,” katanya lagi.
Akar umbi UMNO Kedah juga menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Mukriz sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.
“Kami menuntut Presiden UMNO mengekalkan Mukhriz sebagai Menteri Besar seperti yang dijanjikan pada PRU13,” ujarnya.

http://www.freemalaysiatoday.com/




Post a Comment

 
Top