KUALA LUMPUR : PERKASA menasihatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya lebih berhati-hati dalam melaksanakan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Pengerusi Biro Ekonomi PERKASA, Datuk Ruhanie Ahmad berkata walaupun perjanjian TPPA menjanjikan kemewahan, tetapi ia tidak dapat dinikimati oleh rakyat termiskin.
Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya bimbang, kekecewaan rakyat berhubung perkara itu akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Menurutnya, pertubuhan itu membantah TPPA kerana tidak mahu kerajaan musnah hanya disebabkan kesilapan membuat keputusan berhubung perjanjian.
“Keadaan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak tengah goyang, semoga berjayalah,” katanya pada sidang medianya selepas sesi meja bulat bersama 40 pakar dari pelbagai bidang anjuran pertubuhan itu di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ruhanie menggesa kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong mewujudkan Suruhanjaya Bebas Diraja bagi mengkaji TPPA.
Katanya, Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga dituntut supaya menangguhkan kelulusan terhadap dokumen rasmi TPPA.
“PERKASA (juga) menggesa kerajaan Malaysia tidak menandatangani dokumen rasmi TPPA sebelum permasalahan ini dimuktamadkan oleh Suruhanjaya Bebas Diraja.
“Malaysia masih lagi mempunyai peluang sehingga 2016, jadi kalau kita nak memberitahu kerajaan untuk tangguhkannya kita masih ada masa.
“Kita bukan nak suruh tolak tetapi kita minta mereka kaji secara holistik dan komprehensif. Selepas itu barulah kita putuskan untuk tolak ke tidak,” tegasnya.
Source from FMT News
Post a Comment