PETALING JAYA: Pelajar universiti membantah tindakan kerajaan yang dilaporkan mahu menggantung biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sehingga mekanisma baharu diperkenal.
FMT mendapatkan pandangan daripada beberapa pelajar universiti tempatan berhubung kenyataan yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Dr Wee Ka Siong itu.
Pelajar jurusan matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamad Ashraf Roslan berkata, dia sangat kecewa dengan pengumuman itu.
Katanya, jika pengumuman itu benar berlaku, ia akan menjatuhkan moral pelajar.
“Saya rasa tidak patut kerana pelajar yang dapat biasiswa ini bersungguh-sungguh untuk dapatkan Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang tinggi.
“Jika JPA ditarik balik, jadi macam sia-sia mereka belajar bersungguh-sungguh untuk dapatkan biasiswa dan keputusan cemerlang.
“Dengan biasiswa JPA, sekurang-kurangnya dapat membantu keluarga yang susah untuk membiayai pelajaran mereka di universiti. Saya harap kerajaan kaji balik kerana ini satu keputusan yang besar,” katanya.
Pelajar jurusan sains matematik di UiTM cawangan Machang, Noraidah Rahman berkata, biasiswa JPA banyak membantu pelajar-pelajar yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi.
“Ada rakan saya mengambil JPA juga, dia cakap dia dapat tahu JPA akan dimansuhkan dan dia terkejut. Sebab dah sekat pinjaman PTPTN dan kalau dimansuhkan JPA dia tidak akan dapat mana-mana pinjaman. Jadi sebagai pelajar daripada keluarga yang susah, ia memberi tekanan kepadanya,” katanya.
Pelajar bidang media di Universiti Malaya (UM), Logeswara A/L Taravani, berkata kerajaan sepatutnya boleh mengurangkan kadar pemberian biasiswa daripada RM5,000 kepada RM3,000 satu semester.
“Jangan gantung terus. Nanti susah kepada pelajar yang tidak dapat JPA, tidak mampu sara hidup mereka di universiti.
“Sebab ada juga kalangan daripada mereka yang datang dari keluarga yang tak mampu lebih-lebih lagi belajar di Kuala Lumpur,” katanya.
Selepas mendapat liputan meluas di media, Ka Siong ini membuat kenyataan balas menafikan beliau ada membuat pengumuman mengenai penggantungan biasiswa JPA kepada pelajar university.
Sebaliknya, beliau berkata, hanya mereka yang menerima bursari pra universiti sahaja yang akan terjejas.
Source from FMT News
Post a Comment